KERAJAAN NEGERI PERLUAS SISTEM ADUAN JOHOR

Kerajaan Negeri Johor akan memperluas penggunaan Sistem Aduan Johor bagi memudahkan rakyat menghantar aduan dengan lebih pantas serta memastikan setiap isu dapat ditangani segera. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#Johor Bahru – Kerajaan Negeri bakal memperluas penggunaan Sistem Aduan Johor bagi memudahkan proses penghantaran aduan secara lebih pantas, sekali gus membolehkan tindakan pantas dapat diambil bagi menangani setiap isu yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini.

 

Melalui inisiatif ini, sebarang aduan berkaitan isu kesesakan lalu lintas, kerosakan jalan, pengurusan sisa pepejal, kejadian banjir atau bencana alam serta urusan lain berkaitan perkhidmatan awam akan dapat disalurkan secara terus kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membolehkan mereka mengambil tindakan segera, pantas dan efisien.

 

Inisiatif yang akan dirasmikan November ini selari dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam menjadikan Johor sebagai peneraju agenda bandar pintar dengan memanfaatkan penggunaan teknologi digital secara meluas, meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam serta memperkukuh tadbir urus bandar yang lebih mampan, inklusif dan responsif terhadap keperluan rakyat.

 

Sementara itu, pada majlis yang sama turut berlangsung penyampaian hadiah bagi Pertandingan Robotik Kategori Sekolah Menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kluang yang dinobatkan sebagai johan manakala Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang serta SMK Taman Putri, Kulai, masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) selaku wakil rasmi YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor merasmikan Majlis Penutupan Johor Smart City Forum (JSCF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.

 

Turut hadir YBrs TPr Saidin Lateh, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa PLANMalaysia dan YBrs Encik Mohd Faizalnizam Md. Zain, Timbalan Pengarah PLANMalaysia Johor.

 

#JohorSmartCityForum2025
#PLANMalaysia
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor