KRIKET WANITA JOHOR JUARA EMPAT TAHUN BERTURUT-TURUT

Pasukan kriket wanita Johor merangkul kejuaraan empat kali berturut-turut selepas menewaskan Sarawak di final Piala Premier Kriket Wanita B-19 Antara Negeri 2026.

 

#IskandarPuteri – Pasukan kriket wanita Johor mengekalkan kejuaraan sebanyak empat kali berturut-turut apabila berjaya menewaskan Sarawak pada perlawanan akhir Piala Premier Kriket Wanita Bawah 19 Tahun (U19) Antara Negeri Persatuan Kriket Malaysia (MCA) 2026.

 

Konsisten dengan aksi disiplin dan pukulan agresif, Johor berjaya mengumpul 83 larian dan mengehadkan lawan kepada 50 larian sekali gus meraih kemenangan dengan kelebihan 33 larian.

 

Nur Aina Afrina dinamakan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan selepas aksi epik beliau memimpin pasukan Johor dengan mencatatkan lima wiket dan menyumbangkan 19 larian dalam tempoh 3.3 over.

 

Mendahului carta pemukul untuk pasukan Johor, Nazatul Hidayah Husna dinobatkan sebagai Pemukul Terbaik sepanjang kejohanan dengan keseluruhan jumlah 156 larian dalam tujuh perlawanan, termasuk sumbangan terbesar beliau mengumpul 78 larian daripada 62 bola dalam perlawanan menentang pasukan Pahang.

 

Selain itu, Tuan Nur Amani Tuan Muhammad Fazli dianugerahkan ‘Player of the Tournament’ susulan daripada prestasi konsisten beliau sepanjang kejohanan berlangsung.

 

Pencapaian luar biasa ini mencerminkan komitmen berterusan Persatuan Kriket Johor (JCA) dalam melahirkan bakat muda melalui program berstruktur dan memupuk pertumbuhan kriket wanita di Negeri Johor.

 

JCA turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Kriket Malaysia (MCA) atas penganjuran kejohanan yang cemerlang serta menzahirkan ucapan terima kasih kepada pemain, jurulatih, pegawai dan penyokong yang sentiasa komited memajukan kriket wanita dan memberi inspirasi kepada generasi muda.

 

Tahniah pasukan kriket wanita Johor!

 

#JohorSafeZone
#MCACricketU19
#JohorCricket
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor