KUIH BULAN BUATAN MUSLIM SEMAKIN MENDAPAT SAMBUTAN MASYARAKAT CINA

Siti Fahirra Mohd Hussin, Pengusaha jenama Mooncake Jaybee. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Jika sebelum ini kuih bulan atau ‘moon cake’ amat sinonim dengan masyarakat Cina terutama sekali ketika menyambut Tahun Baharu Cina, namun kini hidangan lazat berkenaan boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja, termasuk mereka yang beragama Islam.
Ini kerana kuih bulan yang kebiasaannya boleh didapati pada akhir Ogos hingga akhir September ketika Festival Kuih Bulan dan musim perayaan Tahun Baharu Cina kini turut diusahakan oleh beberapa usahawan Muslim tempatan yang pastinya bukan sahaja menepati cita rasanya yang asli tetapi juga bersih dan halal.
Menurut Siti Fahirra Mohd Hussin, 25, beliau mula berkecimpung dalam pembuatan kuih bulan sejak tahun 2024 selepas bertekad mempelajari cara pembuatannya kerana pada ketika itu amat sukar untuk mendapatkan kuih bulan yang benar-benar halal serta dibuat oleh pengusaha Muslim.
Beliau berkata, semasa membeli bahan kuih bulan pada ketika itu akhirnya telah membuka peluang kepadanya untuk menimba ilmu daripada pengusaha kedai berbangsa Cina tentang teknik pembuatan yang betul serta pemilihan bahannya yang bersesuaian.
Kini, perniagaan kuih bulan yang dihasilkan Siti Fahirra telah menerima banyak tempahan daripada orang ramai selepas ia dipromosikan dalam media sosial terutama menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina sehingga boleh mencecah tempahan antara 2,000 hingga 2,500 biji kuih bulan hanya untuk perayaan itu sahaja.
Ujarnya, oroses membuat kuih bulan ini sebenarnya tidak terlalu rumit namun memerlukan ketelitian dalam mengawal suhu pembakaran supaya tekstur kulit kuih bulan tidak terlalu nipis hingga membentuk ciri asal kuih tradisi itu dengan kemas.
Pengusaha jenama Mooncake Jaybee itu juga turut menyediakan empat perisa utama antaranya ‘Original Pandan, Original Red Bean, Pandan Yolk dan Red Bean Yolk’ yang dijual pada harga RM10 bagi satu pek. Sementara itu bagi perisa telur asin serta ‘lotus’ pula dijual pada harga RM15 bagi setiap pek dan ia juga sering mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
Selain mengusahakan perusahaan kuih bulan, beliau juga turut menjalankan perniagaan kuih serta juadah untuk hari raya dan kini berhasrat untuk melebarkan perniagaan kuih bulan ini ke seluruh Malaysia.
#JohorSafeZone
#TahunBaharuCina
#KuihBulanMuslim
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


