LATIHAN BERSKALA PENUH UJI PELAN KECEMASAN LTAS


Antara senario simulasi Pelan Kecemasan Lapangan Terbang (AEP) berskala penuh dengan penglibatan pelbagai agensi dan jabatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).

 

ISKANDAR PUTERI — Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) ‘gempar’ apabila sebuah pesawat mengalami masalah teknikal sebelum tersasar dari landasan seterusnya terhempas semasa mendarat dan terbakar.

Kejadian tersebut menyaksikan 21 individu maut, manakala 66 terselamat dalam ‘nahas pesawat’ di LTAS semalam.

Bagaimanapun, senario cemas itu merupakan sebahagian daripada simulasi Pelan Kecemasan Lapangan Terbang (AEP) kendalian Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. (SATSSB).

AEP merupakan prosedur yang didokumenkan dan pelan kontingensi bagi mencapai tindakan yang sepadan oleh pihak berkaitan berdasarkan garis panduan masing-masing.

Semua lapangan terbang di negara ini, termasuk LTAS diberikan mandat oleh Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk mengadakan latihan kecemasan berskala penuh setiap dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif LTAS, Kennedy Ayu berkata, sekuriti dan keselamatan merupakan aspek terpenting di lapangan tersebut.

Ujar beliau, LTAS merupakan satu-satunya lapangan terbang di negara ini dianugerahkan penarafan 5 bintang oleh Kementerian Dalam Negeri kerana memenuhi pemasangan keperluan langkah keselamatan yang penting.

“Oleh itu, memastikan pasukan tindakan kecemasan lapangan terbang dan komuniti kami dapat bekerja secara kolaboratif dalam menghadapi kecemasan adalah kritikal, dan hari ini (semalam), kami dapat menguji rancangan kami dan kebolehan untuk bertindak balas sebagai satu pasukan.

“Latihan ini juga merupakan sebahagian daripada ‘staff development’ di mana membangunkan kakitangan yang berbakat merupakan komponen utama pengurusan yang baik,” katanya.

Lebih 300 individu terlibat dalam latihan kecemasan berskala penuh itu, yang membabitkan kakitangan lapangan terbang, keselamatan, perkhidmatan memadamkan kebakaran serta syarikat penerbangan.

Turut berada di ‘lokasi kejadian’ adalah pasukan polis, bomba, CAAM, MKN, APM, Jabatan Kesihatan, kastam, imigresen, METMalaysia, Depoh Petronas LTAS serta pelajar Akademi Latihan Aeronautik Asia (AATA).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor