MAJLIS DAERAH TANGKAK RAIH PENGIKTIRAFAN ANUGERAH KHAS MURNINETS

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir ke Majlis Apresiasi Pembangunan Bandar Mampan dan Bandar Pintar Peringkat Negeri Johor 2025. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Majlis Daerah Tangkak (MDT) memenangi tempat pertama bagi Anugerah Khas Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia (MURNInets) Peringkat Negeri Johor 2025 sebagai penghargaan atas usaha dan komitmen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dalam mencapai tahap kemampanan bandar yang cemerlang.

 

Program MURNInets merupakan satu inisiatif di Malaysia yang dikelola oleh PLANMalaysia untuk menilai dan mengukur tahap kemampanan sesebuah bandar menggunakan 51 indikator utama serta membantu PBT memahami prestasi bandar mereka daripada pelbagai aspek untuk membuat perancangan pembangunan mampan yang lebih baik.

 

MDT telah mencatat tahap kemampanan 96.89 peratus sekali gus melayakkan PBT tersebut membawa pulang wang insentif berjumlah RM 5,000 berserta plak dan sijil penghargaan.

 

Tempat kedua bagi Anugerah Khas MURNInets dimenangi oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dengan tahap kemampanan 95.98 peratus dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) peroleh tempat ketiga dengan tahap kemampanan 95.96 peratus.

 

Lebih membanggakan, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mencipta sejarah menjadi PBT pertama di Malaysia yang mencapai Penarafan Bandar Pintar Tahap 3. Selain itu, sebanyak 15 PBT di negeri Johor turut menerima Anugerah Penarafan Bandar Pintar bagi Tahap 1 sehingga Tahun 2025.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir ke Majlis Apresiasi Pembangunan Bandar Mampan dan Bandar Pintar Peringkat Negeri Johor 2025 di Hotel Amari, Johor Bahru.

 

Hadir sama, YB Dato’ Haji Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar MBJB; Puan Noraida Abdul Rani, Pengarah Pejabat Projek Zon Selatan (PPZS) PLANMalaysia dan Ts. Gs. Mohd Faizalnizam Md Zain, Timbalan Pengarah PLANMalaysia Johor.

 

#JohorSafeZone
#PLANMalaysia
#SmartCity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor