PENDIDIKAN LITERASI DIGITAL PERKASA PELAJAR LUAR BANDAR DAN B40

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyempurnakan pelancaran Program Pendidikan Literasi Digital di SK Sayong Pinang. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#Kulai – Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) melancarkan Program Pendidikan Literasi Digital untuk tiga buah sekolah kurang murid di negeri ini, sebagai projek rintis melibatkan peruntukan berjumlah RM143,000 bagi merapatkan jurang digital dan memperkasa pelajar luar bandar serta sekolah kurang murid khususnya dalam kalangan keluarga B40.

 

Kesemua sekolah berkenaan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sikijang di Iskandar Puteri, SK Belokok di Pontian dan SK Sayong Pinang di Kulai (sekolah komuniti Orang Asli) masing-masing menerima 20 unit komputer riba dan satu papan pintar interaktif untuk mewujudkan suasana pembelajaran lebih menarik serta menyeronokkan di dalam kelas.

 

Bertemakan ‘Membina Generasi Celik Digital Masa Hadapan’, program tersebut bertujuan meningkatkan tahap literasi digital dalam kalangan pelajar sekolah rendah dengan memberi pendedahan kepada kemahiran digital asas dan penggunaan teknologi dalam persekitaran pembelajaran abad ke-21.

 

Melalui program berkenaan, Yayasan JCorp dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan AFFIN Islamic Bank Berhad memperkukuh usaha menyediakan peluang pendidikan berkualiti kepada semua, mengasah kreativiti dan keyakinan murid serta memastikan tiada anak Johor tercicir dalam menuju masa depan digital yang inklusif.

 

Selain itu, JPNJ bersama sekolah-sekolah komited untuk mempelajari modul literasi digital dan kandungan pembelajaran sesuai dengan keperluan pelajar luar bandar dan komuniti yang kurang mendapat akses kepada teknologi serta sumber pembelajaran di negeri ini.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyempurnakan pelancaran Program Pendidikan Literasi Digital di SK Sayong Pinang, hari ini. Turut hadir, YBrs. Puan Zaidatul Zurita Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp; YBrs. Encik Zulkurnain Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Penbelajaran Negeri Johor dan YBrs. Puan Jozaimah Johan Ali, Pengarah Urusan Strategi dan Operasi AFFIN Islamic Bank Berhad.

 

#JohorSafeZone
#YayasanJCorp
#JPNJ
#AFFINGroup
#PendidikanBerkualiti
#LiterasiDigital
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor