PERUMAHAN KASIH JOHOR JAMIN BANGSA JOHOR MILIKI KEDIAMAN

YB Dato’ Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyempurnakan Majlis Pelancaran ‘Kick-Off’ Inisiatif Belanjawan 2026 (Perumahan Kasih Johor) selain menyampaikan surat tawaran Rumah Prihatin Johor dan Kit Perumahan Kasih Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#Kulai – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) terus komited meringankan beban rakyat khususnya melalui sokongan bantuan bagi merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri menerusi inisiatif Perumahan Kasih Johor yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2026.

 

Belanjawan yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor itu menyaksikan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM431 juta bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan untuk membantu Bangsa Johor memiliki kediaman sendiri serta menyediakan pelbagai bentuk bantuan kebajikan.

 

Inisiatif tersebut merangkumi Skim Bantuan Sewa Rumah sebanyak RM200 sebulan yang memberi manfaat kepada 20,000 penerima serta Skim Bantuan Masuk Rumah Pertama iaitu bantuan one-off sebanyak RM2,000 untuk pembeli rumah pertama bagi Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang menerima kunci pada tahun hadapan.

 

Sementara itu, Skim Bantuan Beli Rumah Pertama pula menyediakan bantuan one-off sebanyak RM5,000 kepada pembeli rumah pertama RMMJ, pembeli lot Bumiputera dan pembeli di pasaran sekunder bagi tahun 2026.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menawarkan dua pilihan Rumah Prihatin Johor, iaitu berharga RM86,000 bagi pilihan pertama dan RM66,000 bagi pilihan kedua, dengan masing-masing menerima subsidi sebanyak RM30,000.

 

Terdahulu, YB Dato’ Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyempurnakan Majlis Pelancaran ‘Kick-Off’ Inisiatif Belanjawan 2026 (Perumahan Kasih Johor) selain menyampaikan surat tawaran Rumah Prihatin Johor dan Kit Perumahan Kasih Johor di IOI Mall, Kulai.

 

#JohorSafeZone
#PKPJ
#RMMJ
#RPJ
#Belanjawan2026
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor