PESTA TANGLUNG MAJU JOHOR 2025 DIIKTIRAF MBOR

YBrs. Encik Mohammad Nazrul Abd. Rahim, Pengarah Tourism Johor merasmikan Pesta Tanglung Maju Johor Peringkat Daerah Batu Pahat Tahun 2025 sempena Program JOJ DUN Parit Yaani. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#BatuPahat- Pesta Tanglung Maju Johor 2025 yang diadakan sempena program Jelajah Orang Johor (JOJ) DUN Parit Yaani mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila menerima pengiktirafan dari Malaysia Book of Records (MBOR).

 

Pesta Tanglung yang berlangsung di Batu Pahat Mall merupakan satu perayaan tradisi yang disambut oleh masyarakat Cina yang melambangkan penyatuan, cahaya harapan dan kebahagiaan. Pesta ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tradisi dan budaya kaum Cina.

 

Selain itu, pesta kali ini yang bertemakan pemakaian etnik turut menerima pengiktirafan bagi kategori perarakan pemakaian etnik yang melibatkan seramai 1,502 peserta, sekali gus menjadi lambang perpaduan masyarakat yang berbilang kaum yang terdapat di negeri ini.

 

Sementara itu, pengunjung program JOJ DUN Parit Yaani, Nur Nabila Kamaruddin, 25, menganggap penganjuran Pesta Tanglung ini sangat bagus kerana dapat meraikan kepelbagaian budaya dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini.

 

Manakala, Ain Maizatul Mohd Tarmizi, 22, memberitahu penganjuran program seumpama itu secara tidak langsung membolehkan dirinya dan juga rakan-rakan lain berbilang bangsa untuk sama merasai sendiri pengalaman menghayati budaya warisan Cina yang terdapat di negeri ini yang sebelum ini mungkin hanya sekadar dapat dilihat dari jauh.

 

Terdahulu, YBrs. Encik Mohammad Nazrul Abd. Rahim, Pengarah Tourism Johor merasmikan Pesta Tanglung Maju Johor Peringkat Daerah Batu Pahat Tahun 2025 sempena Program JOJ DUN Parit Yaani di Dataran Parkir Awam Batu Pahat Mall, Johor.

 

#JOJ
#DUNParitYaani
#VisitJohor2026
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor