RUMAH PESONA JOHOR SEDIA BERI PERLINDUNGAN KEPADA WANITA

YAD Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor merangkap isteri kepada YAB Menteri Besar Johor diiringi YB Puan Hajah Khairin-Nisa Ismai, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor mengadakan lawatan ke Rumah Pesona Johor. | Foto Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT)

 

#JohorBahru – Kerajaan Negeri Johor menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) kini bersedia menawarkan perlindungan sementara kepada golongan wanita di negeri ini yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dengan menubuhkan Rumah Pesona Johor (RPJ).

 

Inisiatif ini selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri Johor yang mensasarkan agar lebih dua juta wanita di seluruh Negeri Johor cakna dan sedar tentang kewujudan dan peranan RPJ ini yang mula beroperasi sejak Mei 2025, sekali gus menjadikan Johor sebagai negeri pertama menyediakan rumah perlindungan sementara buat golongan wanita di bawah kelolaan kerajaan negeri.

 

Sejak mula beroperasi, RPJ telah menerima kira-kira 12 klien wanita dan keseluruhan 31 klien termasuk anak-anak yang telah mendapatkan perlindungan sementara di pusat ini yang beroperasi 24 jam dan dikendalikan oleh enam kakitangan yang bertanggungjawab menguruskan pelbagai aspek pentadbiran dan kebajikan penghuni.

 

Antara perkhidmatan yang turut disediakan di RPJ ini ialah rumah perlindungan, rumah transit, pengurusan kes dan sokongan moral serta kaunseling yang dilihat berupaya membantu penghuninya menghadapi pelbagai cabaran akan datang.

 

Ia secara tidak langsung membolehkan mereka membina semula kekuatan mental, fizikal, spiritual dan seterusnya dapat hidup dengan lebih berdikari serta mampu menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri khususnya YPKDT turut membincangkan pelbagai cadangan penambahbaikan bagi tujuan menyediakan sebuah pusat perlindungan wanita yang kondusif, selamat dan mesra penghuni.

 

Dengan penubuhan RPJ ini, diharap ia dapat menjadi batu loncatan kepada golongan wanita berkenaan untuk membina langkah baru membina kehidupan yang lebih bahagia dan sejahtera. Bagi mendapatkan maklumat lanjut perkhidmatan ini, boleh hubungi RPJ di talian 014-8707008.

 

Terdahulu, YAD Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor merangkap isteri kepada YAB Menteri Besar Johor diiringi YB Puan Hajah Khairin-Nisa Ismai, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor mengadakan sesi kunjungan hormat dan lawatan ke RPJ bagi meninjau perkembangan terkini pusat tersebut.

 

#JohorSafeZone
#BuliBukanBudayaJohor
#YPKDT
#RumahPesonaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor