SEJARAH DEWAN CINA, ISTANA BESAR JOHOR DIABADIKAN DALAM PENERBITAN

YB Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim Ramli, Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor hadir menyempurnakan pelancaran buku ‘Sejarah Dewan Cina, Istana Besar Johor’ di Muzium Warisan Tiong Hua. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Persekutuan Tiong-Hua Johor Bahru mengorak langkah penting dalam mengangkat sejarah Johor menerusi pelancaran penerbitan buku berjudul ‘Sejarah Dewan Cina, Istana Besar Johor’ yang mendokumentasikan hubungan erat antara Kesultanan Johor Moden dengan masyarakat Cina di negeri ini.
Penerbitan buku ini bukan sahaja merakam perkembangan Dewan Cina yang telah wujud lebih daripada satu setengah abad malah menonjolkan keunikan hubungan antara kedua-dua pihak sekali gus menjadi platform untuk menggalakkan generasi muda mendalami dan menghargai sejarah Johor.
Naskhah ini mengandungi dua bahagian utama yang memerihalkan sejarah masyarakat Cina di Johor merangkumi aspek seni bina dewan, fungsi sosial dan makna budaya yang terkandung pada papan inskripsi serta rangkap puisi di Dewan Cina.
Selain itu, buku ini turut menelusuri sejarah Dewan Cina yang telah disempurnakan perasmian pembukaannya oleh Almarhum Sultan Sir Abu Bakar pada 20 September 1875 sebagai pelengkap kepada bangunan utama Istana Besar dan pernah menjadi lokasi mesyuarat Majlis Jumaah Menteri, Majlis Mesyuarat Kerajaan serta merupakan Dewan Perundangan yang pertama bagi Kesultanan Johor Moden.
Karya ini dihasilkan secara bersama oleh empat penulis iaitu YB Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman yang juga Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor bersama YBrs. Encik Ho Kuek Kuwang, YBrs. Encik Soh Kian Heng dan YBrs. Encik Teow Kai Fook bagi menghidupkan kembali sumbangan besar perintis masyarakat Cina dalam pembangunan awal Johor.
Terdahulu, YB Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim Ramli, Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor hadir menyempurnakan pelancaran buku ‘Sejarah Dewan Cina, Istana Besar Johor’ di Muzium Warisan Tiong Hua, hari ini. Turut hadir, YB Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor serta YBrs. Encik Chee Wing Kien, Presiden Persekutuan Tiong-Hua Johor Bahru.
#JohorSafeZone
#SejarahJohor
#KesultananJohorModen
#PersekutuanTiongHuaJohorBahru
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


