SIKAP KETERBUKAAN DYAM TUNKU MAHKOTA ISMAIL BUKTI KEUNIKAN JDT

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada sesi perjumpaan bersama penyokong di Vamos Coffee Roastery baru-baru ini. | MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor merupakan satu-satunya figura dalam lanskap bola sepak negara yang sentiasa meluangkan masa duduk bersama penyokong.

 

Perkara ini dibuktikan pada sesi perjumpaan bersama penyokong di Vamos Coffee Roastery baru-baru ini, di mana Baginda sebagai pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan secara langsung dengan penyokong, menerima soalan secara terbuka dan memberi penjelasan tentang perkembangan dan prestasi berkenaan apa sahaja yang berlaku di negeri Johor.

 

Hampir setiap kata-kata Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail memberikan kesedaran bahawa semua penyokong harus berfikiran positif terhadap apa yang telah berlaku dan kekal dengan ‘winning mentality’ yang diterapkan dalam keluarga JDT. Baginda juga turut berpesan supaya semua individu perlulah membuat sesuatu penilaian berasaskan fakta dan tidak terikut dengan golongan yang berfikiran negatif.

 

Situasi ini menjadikan JDT sangat unik dan berbeza dengan kelab-kelab lain dalam negara. Ketelusan Baginda dalam menyampaikan informasi, memilih untuk berterus terang dan bertanggungjawab terhadap sesuatu permasalahan membuktikan sebuah kepimpinan moden dalam bola sepak negara.

 

Pengorbanan dan komitmen Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail dalam menjenamakan semula sukan di negeri Johor telah dibuktikan dengan kejuaraan kejohanan bola sepak dan futsal, sukan tinju dan kejuaraan Hafizh Syahrin, pelumba JDT Racing Team di Kejuaraan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2025 baru-baru ini.

 

Bukan setakat kejayaan yang diraih, Baginda turut berkongsikan tentang perkembangan terkini pembinaan pusat latihan JDT dilengkapi dengan 12 buah padang bola sepak yang menelan belanja sebanyak RM180 juta bakal bermula awal tahun 2026. Pusat latihan ini akan melonjak status JDT sebagai sebuah kelab bola sepak moden dan mempelawa mana-mana pasukan dalam dan luar negara untuk menyewa kelengkapan fasiliti tersebut.

 

Penyokong JDT amat bertuah kerana telah dikurniakan dengan pelbagai kejayaan dan seharusnya bersatu padu dalam memelihara empayar Harimau Selatan ini supaya terus menjadi peneraju dalam lanskap bola sepak negara.

 

“Kelab bolasepak ini sentiasa mencipta sejarah. Sentiasa dahagakan kejayaan seolah-olah kelab ini tidak pernah ada kejayaan. Terus berfikiran positif kerana berfikir negatif tidak akan selesaikan masalah.” – Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

 

#JohorSafeZone
#TheTMJeffect
#WhatCanYouDo
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor