TEATER MUZIKAL PUTERI GUNUNG LEDANG AMAZING TANGKAK FESTIVAL DIIKTIRAF MBOR

Oleh: NUREEN NATASYA NOOR HASHAIRUL

 

Pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang sempena Amazing Tangkak Festival 2025 di Dataran Tangkak, semalam, mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Penyertaan Pelakon Teramai Dalam Satu Pementasan Teater (Most Performers in a Musical Theatre Performance). | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#Tangkak – Pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang sempena Amazing Tangkak Festival 2025 di Dataran Tangkak, semalam, mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Penyertaan Pelakon Teramai Dalam Satu Pementasan Teater (Most Performers in a Musical Theatre Performance).

 

Keunikan teater muzikal mengenai Puteri Gunung Ledang, antara kisah masyarakat Melayu paling terkenal dalam sejarah dan budaya itu adalah gabungan 108 pelakon serta penari dari Melaka dan Johor iaitu dua negeri yang sinonim dengan legenda tersebut beraksi serentak dalam beberapa babak kemuncak buat kali pertama di negara ini.

 

Tujuan pementasan teater muzikal berkenaan untuk mengangkat kembali warisan agung tersebut ke pentas seni moden dengan pendekatan baharu julung kali diadakan yang bukan sahaja memberi impak kepada dunia seni persembahan tanah air malah mampu menarik perhatian masyarakat umum dan pelancong antarabangsa.

 

Melalui teater muzikal tersebut, Majlis Daerah Tangkak (MDT) selaku penganjur Amazing Tangkak Festival 2025 juga mahu mengukuhkan hubungan strategik antara Melaka dan Johor melalui kolaborasi seni budaya di samping menjadikan pementasan itu sebagai tarikan pelancongan budaya berimpak tinggi.

 

Selain itu, pementasan teater muzikal yang menggunakan pendekatan moden dan tradisional menggabungkan lakonan, muzik orkestra, tarian serta teknologi pentas kontemporari itu turut memberi peluang kepada bakat seni tempatan untuk berkarya dalam projek mega bertaraf nasional.

 

Amazing Tangkak Festival 2025 membuka tirainya semalam hingga Ahad ini, dengan pelbagai pengisian menarik yang disediakan kepada pengunjung sama ada dari dalam mahupun luar negeri serta antarabangsa bagi mempromosikan Tangkak sebagai destinasi pelancongan unggul terutama menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

 

#MDT
#AmazingTangkakFestival2025
#Tangkak
#TeaterMuzikal
#PuteriGunungLedang
#MalaysiaBookOfRecords
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor