UTM PENERAJU FESTIVAL IDEA JOHOR 2025

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi peneraju utama Festival Idea Johor (FIJ) 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri pada 4 dan 5 Oktober 2025. | Foto Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

 

#IskandarPuteri – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul sebagai peneraju utama penganjuran Festival Idea Johor (FIJ) 2025, yang berlangsung di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri selama dua hari bermula 4 hingga 5 Oktober 2025.

 

Dengan menghimpunkan pameran dan penyertaan pelbagai institusi pengajian tinggi dari seluruh negeri Johor, penganjuran FIJ 2025 ini bukan sekadar mempamerkan hasil penyelidikan atau inovasi universiti, malah direka untuk menjadi jambatan yang menghubungkan universiti dengan masyarakat, industri, agensi kerajaan serta generasi muda bagi memacu inovasi untuk memberi manfaat langsung kepada rakyat.

 

Bertemakan ‘Komuniti Bestari, Masa Depan Lestari’, FIJ 2025 juga menyajikan pengisian kreatif dan interaktif seperti pertunjukan fesyen ‘Rentak Budaya dalam Alunan Fesyen’ oleh Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) yang menggabungkan elemen tradisi dan rekaan kontemporari, serta aktiviti face painting hasil kreativiti pelajar politeknik tersebut.

 

Empat program flagship Nexus Care turut diketengahkan sebagai inisiatif utama FIJ 2025 bagi memperkasa komuniti melalui ilmu, pendidikan, teknologi dan kemahiran termasuk penyampaian Sijil Latihan Kemahiran KTP Nexus kepada 30 orang ibu tunggal dan wanita B40 bagi membantu meningkatkan ekonomi keluarga melalui kemahiran yang diperoleh menerusi program ini.

 

Selain itu, program KTP Nexus Remaja menyokong pembangunan pendidikan dan sahsiah lebih 100 pelajar B40 dan anak yatim daripada lima buah sekolah sekitar UTM manakala program Rocket to Fluency pula menyediakan pendekatan interaktif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui permainan bahasa, penguasaan kosa kata dan Fun English learning with MyLine. Program keempat adalah Robotics for All yang memberi pendedahan awal kepada teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI) bagi menyemai minat terhadap bidang STEAM dalam kalangan pelajar sekolah.

 

Sempena festival ini, FIJ 2025 memperkenalkan Anugerah Ikon Komuniti bertujuan untuk menghargai individu dan kumpulan komuniti yang aktif, konsisten serta memberi sumbangan bermakna melalui kerjasama dengan UTM dalam pembangunan masyarakat.

 

Penganjuran FIJ 2025 membuktikan kerjasama erat antara pelbagai pihak di Johor dengan UTM sebagai peneraju, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai pemacu kesejahteraan komuniti dan masa hadapan negeri Johor yang lestari.

 

#JohorSafeZone
#UniversitiTeknologiMalaysia
#FIJ2025
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor