21,540 PETANI DI JOHOR NIKMATI MANFAAT BKJ

Seramai 21,540 petani di Johor menerima Bantuan Kasih Johor (BKJ) berjumlah RM600 seorang dengan peruntukan keseluruhan RM12.9 juta di bawah Belanjawan Johor 2026 bagi membantu menampung kos pembelian dan keperluan pengurusan tanaman. | Foto arkib MDJ
#JohorBahru – Seramai 21,540 petani di seluruh Johor menikmati manfaat menerusi Bantuan Kasih Johor (BKJ) pada tahun ini dengan menerima sebanyak RM600 setiap seorang sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Johor dalam memastikan kebajikan golongan petani terus terpelihara.
Menerusi Belanjawan Johor 2026 di bawah Teras Ketiga: Jaringan Keselamatan Sosial, Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM12.9 juta bagi melaksanakan bantuan ini kepada golongan petani khususnya dalam menampung kos pembelian dan keperluan berkaitan pengurusan tanaman.
Nasamani Perumal, 55, memberitahu bantuan BKJ yang diterimanya dapat membantunya meringankan beban kos pembelian baja dan keperluan pertanian lain yang semakin meningkat, sekali gus membantu menyokong kelangsungan perusahaan kacang panjang yang diusahakan di kebun miliknya.
Jelasnya, perusahaan yang diusahakan bersama suaminya sejak tahun 2014 itu bermula dengan menggunakan modal sendiri, sebelum ia berkembang maju sehingga mampu menggaji dua orang pekerja selepas memperoleh hasil tani yang memberangsangkan.
Selain itu, bantuan daripada Jabatan Pertanian Negeri Johor (JPNJ) yang diterima sejak tahun 2014 merangkumi baja, benih, jentera serta peralatan fertigasi seperti sabut, tangki air 500 galon dan beg poliester turut membantu melancarkan operasi serta meningkatkan pengeluaran tanaman.
Sementara itu, Zainuddin Abu Bakar, 55, yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Penduduk Fasa 1 Taman Mawar, Pasir Gudang menyifatkan bantuan tersebut amat bermakna kepada golongan petani bandar seperti mereka khususnya dalam mendapatkan pendedahan dan menyertai kursus berkaitan pertanian moden seperti Smart Farming dan Internet of Things (IoT) yang melibatkan kos penyertaan tinggi.
Menurut beliau persatuan berkenaan turut mengusahakan Kebun Komuniti Fasa 1 di Taman Mawar yang memberi tumpuan kepada program tanaman secara hidroponik melibatkan sayur-sayuran berdaun dan tembikai susu jenis Golden Melon.
Beliau juga memberitahu, bantuan yang diterima membolehkan aktiviti kebun komuniti dilaksanakan menggunakan kaedah pertanian lebih moden, sekali gus membantu meningkatkan hasil tanaman serta menjimatkan masa dalam aspek pengurusan kebun.
#JohorSafeZone
#JPNJ
#BKJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


