KES DENGGI JOHOR MENINGKAT 159.4 PERATUS, 13,641 KES DIREKODKAN

Kenyataan media YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor
#IskandarPuteri – Sebanyak 13,641 kes demam denggi direkodkan di Johor sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 45/2026, meningkat 159.4 peratus berbanding 5,258 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurut YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, sebanyak 275 kes baharu dilaporkan pada ME 45/2026, meningkat 3.4 peratus berbanding 266 kes pada minggu sebelumnya.
Daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 173 kes, diikuti Kulai (70 kes); Kluang dan Pontian masing-masing tujuh kes; Segamat (enam kes); Kota Tinggi (empat kes); Muar (tiga kes); Mersing dan Batu Pahat masing-masing dua kes serta Tangkak (satu kes).
Dalam perkembangan sama, sebanyak 17 lokaliti wabak baharu dilaporkan melibatkan daerah Johor Bahru (10 lokaliti); Kulai (enam lokaliti) dan Kluang (satu lokaliti), menjadikan jumlah terkumpul lokaliti wabak di Johor sebanyak 1,489 berbanding 532 dalam tempoh sama tahun lalu.
Situasi itu turut menyaksikan satu kematian akibat demam denggi yang dilaporkan pada ME 45, menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 18 kes berbanding 10 kes pada tempoh sama tahun lalu.
Kerajaan Negeri Johor akan terus mempergiatkan usaha pencegahan dan kawalan denggi menerusi pelaksanaan pemantauan berterusan, aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes serta penguatkuasaan bagi memastikan risiko penularan wabak penyakit berkenaan dapat dibendung.
Sehubungan itu, masyarakat diseru supaya melaksanakan aktiviti mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes selama 10 minit di kediaman serta tempat kerja masing-masing, selain memastikan tiada bekas yang boleh menakung air.
Orang ramai juga disaran supaya menggunakan semburan aerosol dan memakai pakaian berlengan panjang serta seluar panjang bagi mengurangkan risiko gigitan nyamuk, manakala pihak sekolah pula digalakkan melaksanakan aktiviti gotong-royong secara berkala bagi memastikan persekitaran bebas daripada tempat pembiakan nyamuk.
Terdahulu, sebanyak 5,338 kompaun membabitkan nilai RM2.669 juta telah dikeluarkan menerusi aktiviti penguatkuasaan sepanjang tahun 2026, dengan 76.19 peratus daripadanya telah dijelaskan.
#Denggi
#KesihatanJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



