44,075 CALON SPM BAKAL TERIMA MANFAAT KIT SPM MAJU JOHOR DAN INSENTIF MAKAN TENGAH HARI

Seramai 44,075 calon SPM 2026 di Johor bakal menerima manfaat Kit SPM Maju Johor dan Makan Tengah Hari SPM dengan peruntukan keseluruhan RM5.07 juta di bawah inisiatif Kerajaan Negeri bagi menyokong persediaan peperiksaan serta kebajikan calon. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#Kulai – Seramai 44,075 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di seluruh Johor bakal menerima manfaat menerusi inisiatif Kit SPM Maju Johor dan Makan Tengah Hari SPM yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri sebagai tanda sokongan terhadap persiapan serta kebajikan calon menghadapi peperiksaan awam berkenaan.
Inisiatif di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor itu melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM5.07 juta, merangkumi RM880,000 bagi penyediaan Kit SPM dan RM4.19 juta untuk pelaksanaan inisiatif Makan Tengah Hari SPM.
Penyerahan Kit Peperiksaan SPM dan Insentif Makan Tengah Hari SPM berkenaan disempurnakan YB Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor pada Majlis Simbolik Penyerahan Kit Peperiksaan SPM dan Insentif Makan Tengah Hari SPM yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara dan SMK Bandar Tenggara 2, baru-baru ini.
Pelaksanaan inisiatif Kit SPM ini melibatkan 297 sekolah di seluruh Johor dengan pengagihan dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 18 November menerusi Ahli Dewan Negeri (ADUN) dan wakil rasmi Menteri Besar Johor bagi memastikan semua calon menerima kelengkapan alat tulis asas sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM.
Sementara itu, inisiatif Makan Tengah Hari SPM yang bermula pada 23 November ini bakal memberi manfaat kepada 44,075 calon sepanjang tempoh peperiksaan, sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan harian calon serta keluarga.
Kerajaan Negeri Johor akan terus memberi perhatian terhadap aspek pendidikan dan kebajikan anak-anak Bangsa Johor menerusi pelaksanaan inisiatif bersasar bagi memastikan mereka mendapat sokongan sewajarnya dalam mengejar kecemerlangan akademik.
Selain membantu meringankan beban keluarga, kedua-dua inisiatif ini diharap dapat memberikan ruang kepada calon untuk memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan, sekali gus melangkah ke dewan peperiksaan dengan lebih yakin dan tenang.
#PendidikanJohor
#SPM2026
#KitSPMMajuJohor
#MakanTengahHariSPM
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


