JDV SASAR BEKAL LEMBU TENUSU HASIL PEMBIAKAN TEMPATAN MENJELANG 2028

YB Tuan Haji Md. Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor mengadakan lawatan kerja ke Kompleks JDV di Mersing. | Foto FB Israk Abdullah
#IskandarPuteri – Johor mengorak langkah memperkukuh industri tenusu negara apabila Jemaluang Dairy Valley (JDV) menyasarkan pembekalan lembu tenusu betina dara berkualiti tinggi hasil pembiakan tempatan kepada penternak menjelang 2028 sekali gus membuka peluang mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap import lembu tenusu secara berperingkat.
Inisiatif strategik ini dilaksanakan menerusi penggunaan teknologi permanian beradas dan semen terpilih mengikut jantina bagi meningkatkan kadar kelahiran anak lembu betina dengan pendekatan tersebut membolehkan JDV membangunkan bekalan baka ternakan berkualiti untuk memenuhi keperluan ladangnya sendiri sebelum diperluas kepada penternak tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, JDV terus mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila pengeluaran susu terkumpul mencecah lima juta liter dengan unjuran pengeluaran sebanyak enam juta liter pada tahun ini, iaitu melebihi sasaran asal 3.8 juta liter, manakala pengeluaran pada 2027 dijangka terus meningkat kepada lapan juta liter.
Bagi menyokong peningkatan kapasiti pengeluaran, JDV turut menyasarkan penambahan 500 ekor lembu tenusu menjelang Disember ini seterusnya meningkatkan jumlah keseluruhan ternakan kepada kira-kira 3,000 ekor pada awal tahun hadapan.
Selain memperkukuh pengeluaran susu segar, kilang pemprosesan susu JDV dijangka mula beroperasi pada suku ketiga 2027, dengan perancangan memperkenalkan produk tenusu keluaran sendiri ke pasaran Malaysia bagi memperluas pembangunan industri hiliran.
JDV merupakan projek hab tenusu bersepadu moden di Jemaluang yang diuruskan oleh Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd., sebuah syarikat usaha sama antara Kulim (Malaysia) Berhad dengan A2 Fresh Holdings Sdn. Bhd. di mana pembangunan projek ini bukan sahaja meningkatkan pengeluaran susu tempatan malah berpotensi membuka peluang ekonomi serta memperkukuh ekosistem penternakan yang lebih mampan dan berdaya saing.
Usaha ini turut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dalam memperkasa industri agromakanan moden dan produktif selaras dengan aspirasi menjadikan negeri ini, sebagai peneraju sektor agromakanan serta memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Terdahulu, YB Tuan Haji Md. Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor mengadakan lawatan kerja ke Kompleks JDV di Mersing, semalam.
#JohorSafeZone
#JemaluangDairyValley
#LembahTenusuJohor
#KeterjaminanMakanan
#MesmerisingMersing
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


