MAHASISWA UTHM TURUN BERBAKTI, PERKUKUH HUBUNGAN ANTARABANGSA DI PALEMBANG

Pendedahan antarabangsa itu turut memberi ruang kepada mahasiswa memperluas jaringan, membina perspektif global dan meningkatkan keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran pelbagai budaya, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi muda Johor yang berdaya saing, berjiwa masyarakat dan berkeupayaan memimpin. | Foto UTHM
#IskandarPuteri – Seramai lapan mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dari Johor menyertai Program Mobiliti Antarabangsa Universitas Sriwijaya (UNSRI) Indonesia 2026 (i-MOVE 2026) di Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia, dari 8 hingga 13 September lalu menerusi penglibatan dalam aktiviti khidmat masyarakat, pertukaran budaya dan perkongsian ilmu.
Program anjuran Ikatan Mahasiswa Malaysia UTHM (IMM UTHM) dengan kerjasama Universitas Sriwijaya (UNSRI), Universitas Indo Global Mandiri (UIGM), STISIPOL Candradimuka dan Universitas Islam Negeri (UIN) Raden Fatah itu turut disertai dua pegawai pengiring dari UTHM.
Antara pengisian utama program ialah aktiviti khidmat masyarakat antarabangsa bersama komuniti Kampung Kapitan, 7 Ulu, Palembang, yang memberi peluang kepada mahasiswa mendekati penduduk setempat serta memahami latar sosioekonomi dan budaya masyarakat di kawasan bersejarah yang terletak berhampiran Sungai Musi itu.
Menerusi interaksi bersama komuniti, mahasiswa turut bertukar-tukar pandangan mengenai potensi pembangunan masyarakat dan pelancongan berasaskan warisan tempatan, selain mengaplikasikan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan dan penyelesaian masalah dalam persekitaran yang berbeza.
Program i-MOVE 2026 turut merangkumi seminar pemindahan ilmu antarabangsa, sesi pensyarah jemputan, dialog akademik, lawatan institusi serta aktiviti pertukaran budaya dan pembinaan jaringan bersama mahasiswa universiti di Palembang.
Lebih signifikan, program itu memperkukuh kerjasama institusi antara UTHM dengan empat universiti di Sumatera Selatan menerusi pemeteraian Surat Hasrat (Letter of Intent, LOI) pada 9 September 2026 di Gedung Juaini Mukti, Kampus UNSRI Palembang.
Kerjasama berkenaan menjadi asas kepada peluasan jaringan dalam bidang mobiliti mahasiswa dan staf, akademik, penyelidikan serta pelaksanaan program khidmat komuniti pada masa hadapan.
Pendedahan antarabangsa itu turut memberi ruang kepada mahasiswa memperluas jaringan, membina perspektif global dan meningkatkan keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran pelbagai budaya, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi muda Johor yang berdaya saing, berjiwa masyarakat dan berkeupayaan memimpin.
Program i-MOVE 2026 diselaraskan oleh Dr. Harliana Halim, Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), UTHM, dengan Dr. Riki Rahman, Pensyarah Kanan di jabatan dan pusat pengajian yang sama, bertindak sebagai pegawai pengiring. Sementara itu, Dr. Zahrul Akmal Damin, Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Sosial, PPUK, UTHM, mewakili universiti dalam agenda kerjasama strategik bersama universiti rakan di Palembang.
#JohorSafeZone
#MahasiswaJohor
#UTHM
#iMOVE2026
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



