JOHOR TEGAS BANTERAS AJARAN SESAT, TERUS PERKUKUH USAHA DAKWAH

Pihak berkuasa agama Negeri Johor akan terus memperkukuh usaha dakwah, pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan akidah serta memastikan tindakan diambil mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras penyelewengan akidah susulan sabitan terhadap tiga orang kena tuduh (OKT) dalam kes yang dikenali sebagai ‘Ratu Balqis’ di Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru, semalam.
Ketiga-tiga OKT yang mengaku salah dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan serta denda RM5,000 bagi setiap kesalahan dengan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda, jelas YB Tuan Haji Mohd Fared Haji Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor dalam satu kenyataan hari ini.
OKT pertama disabitkan di bawah Seksyen 4 berkaitan doktrin palsu dan Seksyen 6(b) berkaitan dakwaan palsu, manakala dua lagi OKT masing-masing disabitkan atas kesalahan bersubahat di bawah Seksyen 43(b) dan Seksyen 43(c) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.
Kes berkenaan memperlihatkan keseriusan kesalahan berkaitan penyebaran doktrin dan dakwaan palsu khususnya yang menyentuh kedudukan Rasulullah SAW serta pelaksanaan ibadah sehingga berpotensi mengelirukan masyarakat.
Sehubungan itu, pihak berkuasa agama Negeri Johor akan terus memperkukuh usaha dakwah, pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan akidah serta memastikan tindakan diambil mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Masyarakat turut dinasihatkan supaya berwaspada terhadap kandungan agama di media sosial, menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi serta mengelakkan ajaran yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiah, selain melaporkan sebarang aktiviti penyebaran ajaran yang meragukan kepada pihak berkuasa agama.
#JohorSafeZone
#AjaranSesat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


