TAHUN MELAWAT JOHOR 2026 : JOHOR REKOD 19.7 JUTA KEMASUKAN PELAWAT ANTARABANGSA

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merasmikan Majlis Town Hall Tahun Melawat Johor 2026 di Hotel Sheraton, Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Johor merekodkan seramai 19.7 juta kemasukan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga September 2026, meningkat berbanding 16.5 juta pada tahun lalu, sekali gus memperlihatkan potensi besar sektor pelancongan di negeri ini.
Seiring dengan peningkatan tersebut, kempen Tahun Melawat Johor 2026 yang menyasarkan kehadiran 12 juta pelancong yang menginap di negeri ini dengan jangkaan impak ekonomi melebihi RM42 bilion.
Justeru, tumpuan bukan sahaja diberikan kepada peningkatan jumlah kemasukan pelawat, malah ia turut merangkumi usaha untuk menggalakkan mereka menginap lebih lama, meneroka lebih banyak daerah serta meningkatkan tahap perbelanjaan dalam ekonomi tempatan.
Bagi merealisasikan sasaran berkenaan, Tourism Johor bersama penggiat industri pelancongan perlu memperkukuh pembangunan pakej pelancongan yang menarik dan bersepadu bagi meningkatkan daya saing Johor sebagai destinasi pilihan pelancong domestik serta antarabangsa.
Berdasarkan data Tourism Malaysia, Johor merekodkan seramai 4.7 juta pelancong yang menginap bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, manakala jumlah kemasukan pelawat antarabangsa ke negeri ini pula melebihi 24 juta pelancong sepanjang 2025.
Bagi menyokong pelaksanaan kempen berkenaan, sebanyak RM5.55 juta telah diperuntukkan menerusi Belanjawan Johor 2026 untuk tujuan promosi dan publisiti, selain RM6 juta bagi penganjuran acara pelancongan bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut membuka peluang bagi memperkukuhkan lagi segmen pelancongan perniagaan, termasuk sektor hospitaliti serta penganjuran mesyuarat, persidangan, pameran dan acara korporat bertaraf serantau serta antarabangsa.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi merasmikan Majlis Town Hall Tahun Melawat Johor 2026 di Hotel Sheraton, Johor Bahru, hari ini.
#TahunMelawatJohor2026
#PelanconganJohor
#JSSEZ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



