TAHUN MELAWAT JOHOR BAKAL DILANJUTKAN HINGGA 2027

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Majlis Town Hall Tahun Melawat Johor 2026 di Hotel Sheraton, Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Kerajaan Johor bercadang untuk melanjutkan tempoh kempen Tahun Melawat Johor hingga 2027 dengan peruntukan tambahan sekurang-kurangnya RM50 juta bagi mempertingkat dan menaik taraf produk sektor pelancongan negeri.
Bagi Tahun Melawat Johor 2026, sebanyak RM187 juta telah dibelanjakan bagi membangunkan dan menaik taraf pelbagai produk pelancongan di negeri ini, jelas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor,
Antara tarikan yang telah dinaik taraf termasuk Zoo Johor, Taman Danga, Muzium Tokoh Johor dan Kampung Sungai Melayu. Selain itu, beberapa projek pelancongan lain turut sedang dibangunkan seperti Pusat Rekreasi Sungai Lebam di Pengerang, Pusat Kebudayaan Pengerang, Taman Negara Gunung Ledang serta Galeri Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
Seiring dengan usaha memperkukuh sektor berkenaan, lanjutan kempen berkenaan juga dijangka akan terus merancakkan industri pelancongan dan pertumbuhan ekonomi negeri, lebih-lebih lagi dengan pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura yang dijadualkan bermula pada Februari 2027.
Sementara itu, perincian lanjut mengenai lanjutan kempen Tahun Melawat Johor akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan Johor 2027, bulan depan.
Cadangan berkenaan turut mengambil kira permintaan pemain industri pelancongan yang berdepan tekanan ekonomi global serta konflik di Asia Barat, selain ia juga selari dengan lanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 hingga penghujung 2027.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merasmikan Majlis Town Hall Tahun Melawat Johor 2026 di Hotel Sheraton, Johor Bahru, hari ini.
#TahunMelawatJohor2026
#PelanconganJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



