JOHOR KEKAL ANTARA PENYUMBANG UTAMA PERDAGANGAN NEGARA

Dari segi nilai, eksport Johor meningkat RM10.2 bilion berbanding September 2025, manakala import bertambah RM15.2 bilion, mencerminkan peningkatan dalam kedua-dua komponen perdagangan negeri ini. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Johor merekodkan nilai eksport sebanyak RM37.6 bilion dan import RM43.9 bilion pada September 2026, masing-masing menyumbang 17.5 peratus dan 24.2 peratus daripada jumlah eksport serta import Malaysia bagi tempoh yang sama.
Menerusi Statistik Eksport dan Import Mengikut Negeri, September 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai eksport Johor meningkat 37.4 peratus berbanding September 2025, manakala nilai import meningkat 52.8 peratus dalam tempoh yang sama.
Dari segi nilai, eksport Johor meningkat RM10.2 bilion berbanding September 2025, manakala import bertambah RM15.2 bilion, mencerminkan peningkatan dalam kedua-dua komponen perdagangan negeri ini.
Di peringkat nasional, jumlah perdagangan Malaysia mencecah RM396.5 bilion pada September 2026, merangkumi eksport sebanyak RM215.1 bilion dan import sebanyak RM181.4 bilion.
Johor, Pulau Pinang dan Selangor secara keseluruhan menyumbang 80.5 peratus daripada jumlah perdagangan negara pada September tahun ini, sekali gus meletakkan Johor dalam kelompok tiga negeri utama yang menyumbang bahagian terbesar kepada perdagangan Malaysia.
#JohorSafeZone
#PelaburanJohor
#EkonomiJohor
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



