LPJ SALUR RM24.9 JUTA ZAKAT PERNIAGAAN, TERUS SANTUNI ASNAF JOHOR
Oleh: Suhana Ariffin

YB Tuan Haji Anuar Abd. Manap, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyempurnakan Majlis Agihan Wakalah Zakat Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) di Hotel Amari, Johor Bahru. | Foto Lembaga Pelabuhan Johor
#JohorBahru – Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) terus memperkukuh komitmen sosialnya melalui bayaran zakat perniagaan yang menunjukkan peningkatan konsisten dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM24.9 juta bagi tempoh 2020 hingga 2024, sekali gus sumbangan ini diharapkan dapat menyantuni golongan asnaf dan masyarakat yang memerlukan di Johor.
Bagi tahun 2025, LPJ memperoleh kelulusan wakalah zakat berjumlah kira-kira RM2.3 juta untuk diagihkan kepada golongan asnaf di 10 daerah di negeri ini dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Insiatif wakalah zakat LPJ merangkumi sumbangan kewangan kepada asnaf dan pembangunan penempatan yang sehingga kini menyaksikan sebanyak 10 rumah telah dibangunkan untuk golongan asnaf termasuk empat rumah baharu pada tahun ini yang telah dilaksanakan di daerah Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing dan Tangkak.
Selain itu, LPJ turut menyumbang tiga van jenazah bagi membantu keperluan pengurusan jenazah di mana dua daripadanya diserahkan pada majlis hari ini kepada Surau At-Taufiqiah, Taman Nusa Damai dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kong Kong Laut di Pasir Gudang.
Bantuan juga turut disalurkan bagi menyokong institusi pendidikan, program perayaan, sumbangan korban, program berkhatan serta penambahbaikan kemudahan surau, masjid dan sekolah agama.
Usaha ini secara tidak langsung turut mencerminkan komitmen berterusan LPJ dalam memastikan bantuan disalurkan secara telus dan teratur demi kesejahteraan ummah.
Terdahulu, YB Tuan Haji Anuar Abd. Manap, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Agihan Wakalah Zakat Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) di Hotel Amari, Johor Bahru.
Turut hadir ialah YBrs. (Dr.) Haji Rosnan Fathlal, Pengerusi Lembaga Pengarah LPJ; YBrs. Dr. Siti Noraishah Azizan, Pengurus Besar LPJ, YBrs. Tuan Mohd Shafie Mustapha, Penolong Pengarah Zakat selaku wakil rasmi Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ serta YBrs. Puan Azura Shahira Azahar, Penolong Pegawai Daerah selaku wakil rasmi Pegawai Daerah Johor Bahru.
#JohorSafeZone
#LPJ
#MAINJ
#ZakatPerniagaan
#WakalahZakat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


