RTS LINK: KESIAPSIAGAAN KESELAMATAN RENTAS SEMPADAN DIPERKUKUH

Majlis Penutup Latih Amal Keselamatan RTS Link Malaysia-Singapore Cross-Border Joint Exercise Field Training Exercise (FTX) 2026 dihadiri YB Tuan Ir. Ts. Haji Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor di Depot RTS Wadi Hana, Johor Bahru. | Foto MDJ Nazreen Aimie
#JohorBahru – Malaysia dan Singapura terus memperkukuh kerjasama keselamatan rentas sempadan menerusi Latih Amal Keselamatan RTS Link Malaysia-Singapore Cross-Border Joint Exercise Field Training Exercise (FTX) 2026 bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi pelbagai situasi krisis dan kecemasan menjelang operasi rasmi sistem pengangkutan awam itu.
Latih amal yang berlangsung pada 27 Oktober itu bertujuan untuk menguji keupayaan tindak balas serta penyelarasan pelbagai agensi kedua-dua negara dalam menangani insiden kecemasan yang berpotensi berlaku di tren dan landasan Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.
RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura berupaya membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, sekali gus menjadikan aspek keselamatan penumpang, infrastruktur dan kelancaran operasi sebagai keutamaan bersama kedua-dua negara.
Sehubungan itu, latihan berkenaan melibatkan simulasi operasi memadam kebakaran, pengasingan dan rawatan awal mangsa mengikut keutamaan perubatan (medical triage), pemindahan mangsa serta tindakan kecemasan rentas sempadan bagi menguji keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) yang dibangunkan bersama.
Persediaan latihan ini dimulakan sejak Mac 2026 melalui perancangan dan penyelarasan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan penglibatan 28 kementerian dan agensi, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.
Selain itu, latihan turut mendapat kerjasama rakan strategik termasuk Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp), RTS Link Operations (RTSO), PETRONAS, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia dan Sapura serta beberapa agensi kerajaan Singapura.
Dua latihan simulasi berasaskan perbincangan ‘Table Top Exercise – TTX’ dilaksanakan, iaitu di peringkat nasional pada 19 hingga 20 Ogos 2026 dan peringkat rentas sempadan Malaysia-Singapura pada 28 hingga 29 September 2026 sebelum ia diteruskan dengan latihan lapangan FTX pada 27 Oktober.
Terdahulu Majlis Penutup latih amal berkenaan dihadiri YB Tuan Ir. Ts. Haji Mohamad Fazli bin Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor di Depot RTS Wadi Hana, Johor Bahru, hari ini.
Pelaksanaan latihan berkenaan mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Singapura untuk memperkukuh kesiapsiagaan, daya tahan serta penyelarasan operasi demi menjamin perjalanan rentas sempadan yang selamat dan boleh dipercayai apabila RTS Link mula beroperasi kelak.
#RTSLink
#FTX
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


