PUJB SALUR 16,000 UNIT KHEMAH, SOKONG USAHAWAN MIKRO

Kerajaan Johor memperuntukkan RM3 juta bagi menyalurkan 16,000 khemah kepada usahawan mikro sepanjang 2024 hingga 2026 bagi membantu meringankan beban serta menyeragamkan kawasan perniagaan. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Sebagai usaha memperkasa golongan usahawan mikro, Kerajaan Johor menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) melaksanakan inisiatif Khemah Usahawan Mikro dengan menyalurkan sebanyak 16,000 unit khemah bagi tempoh 2024 hingga 2026 yang bertujuan untuk menceriakan kawasan perniagaan dengan menyelaraskan corak khemah.
Bagi pelaksanaan inisiatif tersebut, Kerajaan Johor telah memperuntukkan sejumlah RM3 juta di bawah Teras Kedua: Pembangunan Ekonomi menerusi Belanjawan Johor 2026 untuk membantu meringankan beban serta memudahkan urusan perniagaan golongan usahawan mikro khususnya mereka yang baharu memulakan perniagaan.
Siti Mahmudah Swandi, 30, peniaga pasar malam memberitahu pihaknya sememangnya berasa bersyukur atas pemberian khemah usahawan ini yang sememangnya dapat mengurangkan kos perbelanjaan untuk membeli khemah, selain ia juga mempunyai kualiti yang lebih baik dan tahan lama berbanding variasi lain di pasaran.
Beliau memberitahu sebagai peniaga pasar malam sejak hampir empat tahun lalu, perniagaannya hampir setiap hari berdepan dengan cabaran cuaca yang tidak menentu, sekali gus menjadi penyebab khemah miliknya sebelum ini cepat rosak serta memerlukan kos penggantian yang tinggi.
Bagi Azilah Tumeran, 40, yang menjalankan perniagaan menjual sate di pasar malam sejak tahun 2008 memberitahu inisiatif bantuan khemah ini terbukti telah memberi manfaat kepada peniaga kerana dapat menjimatkan kos pembelian khemah, sekali gus mengurangkan kos operasi perniagaan.
Sementara itu, beliau turut berharap agar Kerajaan Johor dapat meneruskan pemberian bantuan khemah pada setiap tahun serta mempertimbangkan pengecualian bayaran lesen kepada peniaga kecil bagi membantu meringankan beban kos perniagaan mereka.
Untuk rekod, pengagihan khemah tersebut melibatkan 10 daerah di seluruh Johor dengan jumlah keseluruhan sebanyak 16,000 unit khemah bagi tempoh 2024 hingga 2026.
Daripada jumlah itu, sebanyak 2,000 unit khemah diagihkan pada tahun 2024, diikuti 6,000 unit pada tahun 2025 termasuk peruntukan tambahan sebanyak 2,000 unit manakala 6,000 unit lagi diagihkan pada tahun 2026.
#JohorSafeZone
#PUJB
#UsahawanJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


