IMPAK PERUNTUKAN BELANJAWAN JOHOR 2026 BUKA PELUANG 4 ATLET ORANG PEKAK WAKILI MALAYSIA

Kerajaan Johor memperuntukkan RM100,000 kepada JSDeaf bagi memperkasa sukan komuniti orang pekak, sekali gus menyokong kejayaan atlet Johor meraih lapan pingat di peringkat kebangsaan dan mewakili Malaysia ke kejohanan antarabangsa. | Foto Persatuan Sukan Orang Pekak Johor (JSDEAF)
#IskandarPuteri – Komitmen Kerajaan Johor dalam memastikan pembangunan sukan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat terus diterjemahkan menerusi peruntukan khusus sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Johor (JSDeaf) di bawah Belanjawan Johor 2026.
Peruntukan di bawah Teras 3: Orang Muda Johor tersebut menjadi manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memperkasa komuniti orang pekak, bukan sahaja dari aspek kebajikan semata-mata, malah turut membuka peluang kepada golongan berkenaan untuk mengembangkan bakat termasuk dalam bidang sukan.
Lebih membanggakan, hasil sokongan tersebut kontinjen ping pong orang pekak Johor berjaya meraih 3 pingat emas, 2 pingat perak dan 3 pingat gangsa dalam Kejohanan Ping Pong Orang Pekak Malaysia pada Julai lalu, sebelum empat atlet Johor terpilih mewakili Malaysia dalam temasya berprestij Asia Pacific Deaf Multi-Sport Championship 2026 di Pulau Pinang, Oktober lalu.
Peruntukan Kerajaan Negeri itu juga memberikan sokongan penting dalam meningkatkan keupayaan persatuan berkenaan untuk merancang pelbagai aktiviti secara lebih sistematik, sekali gus mengembangkan potensi yang ada pada komuniti pekak di Johor, jelas YBrs Encik Wong Wah Chein, Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Johor.
Selain itu, menerusi peruntukan Belanjawan Johor 2026 itu, JSDeaf telah merangka pelbagai inisiatif pembangunan sukan akar umbi, penganjuran kejohanan, pendidikan sukan serta peningkatan kemahiran dalam kalangan komuniti orang pekak di Johor.
Antaranya ialah Klinik Asas Pembangunan Sukan seperti golf dan pickleball, Karnival Orang Pekak Johor, program pendidikan dan kesedaran antidoping, kursus Bahasa Isyarat Malaysia dalam konteks kejurulatihan serta siri kejohanan sukan yang melibatkan pelbagai disiplin.
Jelasnya, usaha Kerajaan Johor dalam memperkasa pembangunan sukan secara menyeluruh menerusi Belanjawan Johor yang lalu bukan sekadar menyediakan peruntukan kewangan, malah membuka peluang kepada komuniti orang pekak membuktikan kemampuan, mencungkil potensi serta mengharumkan nama Johor di pentas dunia.
#JohorSafeZone
#JSDeaf
#BelanjawanJohor2026
#OrangPekakJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



