VISI TUNKU MAHKOTA ISMAIL LONJAK JENAMA JDT KE PELBAGAI ENTITI SUKAN

Visi dan hala tuju DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, menjadi pemacu kepada kejayaan Harimau Selatan mengembangkan jenama ke pelbagai cabang sukan berprestasi tinggi, sekali gus menjadikan pengurusan sukan moden Johor sebagai penanda aras baharu industri sukan negara.
Jenama Johor Darul Ta’zim (JDT) kini bukan lagi sekadar sebuah kelab bola sepak yang mendominasi saingan tempatan dan rantau Asia, malah telah berevolusi menjadi sebuah empayar sukan yang disegani.
Berpegang kepada slogan ‘Luaskan Kuasamu Johor’, kejayaan jenama Harimau Selatan melebarkan sayap ke dalam pelbagai disiplin sukan berprestasi tinggi membuktikan bahawa acuan pengurusan sukan moden di negeri Johor mampu menjadi penanda aras baharu dalam landskap industri sukan negara.
Kejayaan luar biasa ini berpaksikan visi dan misi jelas pemilik kelab, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Sejak menerajui bola sepak pada penghujung tahun 2012, Baginda sentiasa komited dan menolak budaya kerja sekadar melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya, setiap agenda pembangunan dirancang secara teliti untuk jangka masa panjang berteraskan profesionalisme, tadbir urus korporat yang cekap, serta keberanian melabur demi masa depan.
Asas utama yang membolehkan jenama JDT berkembang pesat ialah komitmen terhadap pembinaan infrastruktur sukan bertaraf dunia. Kewujudan Stadium Sultan Ibrahim yang serba canggih, pusat latihan moden berteknologi sains sukan terkini serta kemudahan perubatan bertaraf antarabangsa telah meletakkan kelab ini dalam kelasnya yang tersendiri. Fasiliti lengkap ini bukan sahaja menarik minat atlet berprofil tinggi, malah meyakinkan syarikat korporat dan penaja antarabangsa untuk menjalin kerjasama strategik bersama-sama JDT.
Berbekalkan ekosistem pengurusan yang mantap, jenama JDT kini melangkah lebih jauh dengan meneroka pelbagai cabang sukan lain. Selain melakar kejayaan cemerlang dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), JDT turut memperkukuh reputasinya menerusi penubuhan JDT Boxing Team dan JDT Ice Hockey Team sebagai simbol kepelbagaian portfolio sukan kelab tersebut.
Selari dengan perkembangan semasa, JDT turut mengorak langkah dalam sukan digital menerusi pasukan JDT | GBX Esports yang berjaya mencipta nama di pentas kompetitif serantau. Di samping itu, penubuhan JDT Racing Team yang melakar pelbagai kejayaan bersama pelumba kebangsaan, Hafizh Syahrin Abdullah di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) turut membuktikan keupayaan kelab tersebut dalam arena permotoran.
Sektor pembangunan sukan Johor turut mendapat lonjakan luar biasa menerusi pelantikan ikon sukan bertaraf dunia sebagai Duta Sukan Johor. Kehadiran legenda ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams menyuntik aura juara dan meningkatkan lagi profil pasukan ragbi negeri Johor yang dikenali sebagai Johor Tigers.
Suntikan semangat dan penjenamaan semula tersebut terbukti membuahkan hasil manis apabila Johor Tigers berjaya menjulang kejuaraan berprestij Kejohanan Ragbi Piala Agong 2026, sekali gus menamatkan kemarau sembilan tahun dan mengukuhkan status mereka sebagai kuasa besar ragbi negara.
Pada masa yang sama, pelantikan legenda badminton negara, Dato’ Seri Dr. Lee Chong Wei sebagai Duta Sukan Johor turut memainkan peranan penting dalam berkongsi kepakaran teknikal serta menyuntik mentaliti kelas dunia kepada ekosistem sukan badminton negeri.
Terbaharu, legasi kecemerlangan ini diteruskan menerusi penubuhan JDT Cycling Team dan Johor Southern Tigers Basketball Team. Penglibatan dalam sukan berbasikal yang turut membabitkan jaguh trek negara, Muhammad Shah Firdaus bertujuan mewujudkan platform sistematik untuk melahirkan bakat baharu dari peringkat akar umbi hingga ke pentas dunia. Penubuhan Johor Southern Tigers Basketball Team pula menyuntik nafas baharu serta melonjakkan nilai komersial sukan bola keranjang di Johor dan seluruh negara.
Melengkapi empayar ini ialah pasukan Johor Jewels yang bertindak sebagai cabang peluasan dalam sukan bola jaring wanita, sekali gus membuktikan model pengurusan profesional berinspirasikan JDT mampu memacu dominasi cemerlang di pentas Liga Super Bola Jaring (NSL).
Lebih membanggakan, peluasan empayar sukan yang menyeluruh ini membuka lembaran peluang luas buat golongan belia di negeri Johor. Kepelbagaian disiplin sukan yang tersedia bukan sahaja menyediakan laluan kerjaya jelas untuk anak muda tempatan bergelar atlet profesional, malah turut menjana prospek pekerjaan baharu dalam bidang sokongan seperti kejurulatihan, sains sukan, pengurusan acara serta teknikal.
Secara tidak langsung, ekosistem kondusif ini menjadi pemangkin dalam membentuk generasi belia Johor yang sihat, berdisiplin dan berdaya saing di peringkat global.
Kesimpulannya, transformasi jenama JDT daripada sebuah kelab bola sepak kepada entiti pelbagai sukan merupakan manifestasi kepimpinan berwawasan tinggi DYAM Tunku Mahkota Ismail. Gabungan perancangan rapi, mentaliti menang dan penyediaan prasarana sukan bertaraf dunia telah membuahkan hasil yang amat membanggakan.
Usaha ini bukan sahaja mengharumkan nama Johor di persada antarabangsa, malah turut memacu ekosistem sukan negara ke arah tahap yang lebih profesional dan berdaya saing.
Luaskan Kuasamu Johor!
#JohorSafeZone
#JDT
#TheTMJeffect
#WeAreAMovement
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


