DUTCH LADY AMBIL 35 PERATUS EKUITI JDV, PERKUKUH INDUSTRI TENUSU JOHOR

JDV memperkukuh industri tenusu Johor menerusi pengambilalihan 35% ekuiti oleh Dutch Lady Malaysia, susulan kejayaan menghasilkan 5 juta liter susu segar dalam tempoh tujuh bulan bagi meningkatkan pengeluaran susu domestik dan mengurangkan kebergantungan terhadap import. | Foto Jemaluang Dairy Valley
#IskandarPuteri – Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd. (JDV) memperkukuh agenda pembangunan industri tenusu bersepadu Johor menerusi pengambilalihan 35 peratus kepentingan ekuiti oleh Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia), sekali gus memperkukuh potensi pembangunan rantaian nilai tenusu daripada ladang hingga kepada pengguna.
Kerjasama strategik itu hadir ketika JDV menunjukkan prestasi pengeluaran yang memberangsangkan apabila berjaya menghasilkan sebanyak 5 juta liter susu segar dalam tempoh tujuh bulan dari Mac hingga September 2026 menggunakan lembu tenusu kacukan.
Pencapaian tersebut membuktikan potensi besar lembu tenusu kacukan untuk dikembangkan dalam keadaan iklim dan persekitaran Malaysia, selain turut mengukuhkan keupayaan JDV dalam menyokong pengeluaran susu domestik dan mengurangkan kebergantungan terhadap susu import.
Menerusi kerjasama strategik itu, JDV akan menggabungkan keupayaan penternakan tenusu moden dengan kedudukan pasaran serta kepakaran pengedaran Dutch Lady Malaysia bagi membekalkan susu segar berkualiti tinggi yang dihasilkan secara tempatan pada harga kompetitif kepada pengguna Malaysia.
Kerjasama tersebut turut merangkumi pembangunan aktiviti hiliran termasuk pemprosesan susu, penjenamaan, pemasaran dan pengedaran bagi memperkukuh keseluruhan rantaian nilai industri tenusu di Johor.
Selain perniagaan teras tenusu, JDV turut mempunyai aspirasi jangka panjang untuk membangunkan keupayaan pembiakan lembu tenusu tempatan, menyokong penternak kecil serta mewujudkan peluang pekerjaan, di samping mengembangkan inisiatif pendidikan dan agropelancongan sebagai pelengkap kepada operasi teras.
Hala tuju berkenaan selari dengan aspirasi Kerajaan Johor di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, dalam memperkukuh keterjaminan makanan, membangunkan industri pertanian tempatan serta mewujudkan peluang ekonomi yang mampan untuk rakyat Johor.
Untuk rekod, pengambilalihan 35 peratus kepentingan ekuiti JDV oleh Dutch Lady Malaysia adalah daripada Kulim (Malaysia) Berhad, anak syarikat milik penuh Johor Corporation (JCorp) dan selepas transaksi dimuktamadkan, Dutch Lady Malaysia akan menjadi pemegang saham JDV bersama Kulim dan A2 Fresh Holdings Sdn. Bhd.
Terdahulu, transaksi tersebut diumumkan oleh Dutch Lady Malaysia pada 10 November 2026 dan penyempurnaannya tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat berkaitan di bawah Perjanjian Jual Beli Saham, termasuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa serta pihak-pihak berkaitan.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


