128 PROJEK PEMBANGUNAN BERNILAI RM14.94 JUTA DI MUAR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mempengerusikan Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Daerah Muar. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Sebanyak 128 projek pembangunan bernilai RM14.94 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Johor bagi memperkasa pembangunan infrastruktur serta kemudahan awam menerusi Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Daerah Muar.

 

Peruntukan tersebut melibatkan pelbagai projek baik pulih dan menaik taraf kemudahan awam yang bakal memberi manfaat secara langsung kepada rakyat di daerah berkenaan.

 

Selain itu, sebanyak 405 isu dan perkara berbangkit turut dibincangkan secara menyeluruh bagi memastikan setiap permasalahan rakyat mendapat perhatian yang sewajarnya menerusi mesyuarat yang menghimpunkan tujuh kawasan Dewan Negeri Johor (DUN) di daerah Muar.

 

Daripada jumlah tersebut, 134 isu berjaya diselesaikan, manakala 51 isu lagi dalam tindakan pelaksanaan, selain 160 permohonan baharu dengan selebihnya memerlukan penelitian lanjut oleh agensi dan jabatan berkaitan sebelum tindakan susulan diambil bagi menyelesaikan isu berbangkit.

 

Menerusi MTD, Kerajaan Negeri bersama agensi dan jabatan berkaitan akan menyelaras tindakan penyelesaian secara lebih sistematik, sekali gus mempercepatkan pelaksanaan projek serta memastikan setiap isu rakyat dapat ditangani dengan lebih berkesan.

 

Antara projek utama yang bakal dilaksanakan ialah menaik taraf balapan di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Muar dengan peruntukan sebanyak RM2 juta, selaras dengan usaha memperkukuh kemudahan sukan serta menyokong pembangunan komuniti dan bakat anak muda di daerah itu.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mempengerusikan Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Daerah Muar bagi memastikan setiap pembangunan serta pelaksanaan projek dirancang dapat memberi impak kepada kesejahteraan rakyat serta kemajuan setempat.

 

#JohorSafeZone
#MTDMuar
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor