195 PENDUDUK TAMAN YPJ PUNGGAI TERIMA KUNCI RUMAH

YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman YPJ Punggai di Dewan Serbaguna Taman YPJ Punggai, Pengerang. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#KotaTinggi – Penantian 195 pembeli rumah bagi fasa pertama Taman YPJ Punggai, Pengerang berakhir apabila menerima kunci kediaman masing-masing selepas terpaksa menunggu agak lama berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

 

Taman YPJ Punggai yang mula dilaksanakan pada 2019 itu merupakan projek perumahan mampu milik yang menawarkan 500 unit kediaman jenis teres dua tingkat berkeluasan 1,337 kaki persegi yang dibangunkan oleh YPJ Builders Sdn Bhd, salah satu anak syarikat Kumpulan YPJ Holdings Sdn Bhd.

 

Pesara Kerajaan, Mad Diah Taib, 63, menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Johor yang berjaya mempercepatkan proses pembinaan semula perumahan tersebut dan akhirnya membolehkan beliau menduduki rumah impiannya.

 

Beliau juga menyifatkan beberapa fasiliti lengkap yang terdapat di Taman YPJ Punggai seperti dewan, surau dan taman permainan kanak-kanak serta lokasi yang berhampiran kawasan industri dan pantai menjadikannya pilihan terbaik bagi dirinya dan isteri untuk menikmati kehidupan persaraan yang lebih baik.

 

Selain itu, Taman YPJ Punggai ini juga terletak di kawasan strategik seperti tidak jauh dari pusat pelancongan Desaru, Kompleks Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang serta berada dalam
Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadikannya sebagai antara pilihan yang ideal untuk didiami.

 

Terdahulu, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman YPJ Punggai di Dewan Serbaguna Taman YPJ Punggai, Pengerang, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor