20 TUKUN TIRUAN BAHARU BANTU PERKUKUH SUMBER PERIKANAN MERSING

Sebanyak 20 tukun tiruan ‘kuboid juvenil’ dilabuhkan di perairan Pulau Tinggi dan Pulau Sibu bagi melindungi habitat marin, memperkukuh sumber perikanan serta membendung pencerobohan aktiviti pukat tunda.
#Mersing – Sebanyak 20 tukun tiruan berbentuk ‘kuboid juvenil’ dilabuhkan di sekitar perairan Pulau Tinggi dan Pulau Sibu yang bertujuan untuk meningkatkan perlindungan habitat marin yang menjadi sumber perikanan negara di sekitar kawasan kepulauan berkenaan.
Inisiatif berkenaan juga dilihat berupaya membendung ancaman pencerobohan aktiviti pukat tunda oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan berkenaan, sekali gus membolehkan sumber perikanan di lokasi berkenaan diperkasakan dengan lebih baik.
Langkah yang dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) ini melibatkan peruntukan sebanyak RM652,220 yang membabitkan 10 unit tukun tiruan dilabuhkan di perairan Pulau Tinggi dan 10 unit lagi di Pulau Sibu. Setiap unit tukun tiruan seberat kira-kira 17 tan ini telah direka bentuk bagi tujuan melindungi habitat hidupan marin daripada terancam khususnya membabitkan kegiatan pukat tunda.
Inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) ini akan diteruskan bagi memperkukuh pemuliharaan sumber marin, memastikan kelestarian stok perikanan serta menyokong keterjaminan makanan negara khususnya di negeri ini.
Selain menyediakan habitat perlindungan dan kawasan pembiakan hidupan marin, tukun tiruan ini dilihat mampu membantu pengurusan ruang perikanan di kawasan pesisir pantai yang sensitif. Di samping itu, DOF turut mengawal selia aktiviti perikanan di kawasan tukun bagi mengelakkan eksploitasi sumber perikanan secara berlebihan.
Terdahulu, YB Tuan Md. Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Kerajaan Negeri Johor menyempurnakan Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Penghalang Pukat Tunda di Perairan Pulau Aur di Pusat Taman Laut Mersing.
Untuk rekod, sehingga tahun 2025, sebanyak 247 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di perairan Johor yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.22 juta di bawah insiatif RMK-11 dan RMK-12.
Pada majlis yang sama, turut diadakan penyerahan kit pengenalan kepada 16 orang Ketua Jaringan Perikanan (KJP) daerah Mersing yang berperanan membantu menyampaikan dasar kerajaan serta menyelaras program komuniti perikanan di peringkat akar umbi dibawah Program Kesukarelawan Perikanan.
#JohorSafeZone
#PerairanMersing
#MesmerisingMersing
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


