KERAJAAN NEGERI AGIH BKJ FASA 4 RAYUAN BERMULA DI DUN MACHAP

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan BKJ Fasa 4 kategori rayuan kepada penerima di DUN Machap. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri mengagihkan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4 kategori rayuan kepada lebih 4,000 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap membabitkan jumlah keseluruhan melebihi RM840,000.
Bantuan berkenaan memanfaatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, suri rumah tidak bekerja, pasangan baharu berkahwin, penjaja dan peniaga kecil, Orang Kurang Upaya (OKU), anak yatim, petugas keselamatan dan pembersihan, penggali kubur serta beberapa kategori lain yang layak.
Bagi seluruh Johor, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan tambahan RM47.13 juta bagi BKJ Fasa 4 kategori rayuan dan permohonan baharu yang akan memanfaatkan seramai 235,545 penerima daripada 21 segmen masyarakat.
Peruntukan tambahan ini diluluskan selepas mengambil kira pelbagai rayuan dan maklum balas yang diterima sepanjang pelaksanaan BKJ Fasa 4 sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai rakyat yang layak untuk menerima bantuan.
Pelaksanaan kategori rayuan dan permohonan baharu memberi peluang kepada mereka yang tercicir dalam agihan awal BKJ Fasa 4 untuk dinilai semula menerusi proses penelitian dan semakan bagi memastikan pemohon yang memenuhi syarat menerima manfaat bantuan berkenaan.
Pelaksanaan BKJ merupakan antara usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta membantu meringankan beban kos sara hidup Bangsa Johor.
Kedudukan kewangan negeri yang kukuh turut membolehkan lebih banyak manfaat dikembalikan kepada rakyat menerusi penambahbaikan dan peluasan pelbagai inisiatif bantuan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan BKJ Fasa 4 kategori rayuan kepada penerima di DUN Machap sebagai sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri memastikan hasil kemajuan dan kemakmuran Johor terus dikongsi bersama rakyat.
#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohor
#BKJFasa4
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


