PELAN TRANSFORMASI EKONOMI JOHOR PASTIKAN SETIAP DAERAH NIKMATI KEMAJUAN EKONOMI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Johor kini memasuki fasa pembangunan yang lebih terancang dan berimpak tinggi apabila Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) akan menjadi panduan utama bagi memacu negeri ini ke arah status negeri maju menjelang 2030, selaras dengan aspirasi pembangunan holistik meliputi 10 daerah dan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Meskipun JS-SEZ menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu, namun hala tuju pembangunan negeri akan dipacu menerusi kerangka transformasi menyeluruh JETP dan ia secara tidak langsung mampu memastikan pembangunan negeri ini tidak hanya tertumpu di zon ekonomi khas berkenaan sahaja tetapi bakal digerakkan secara seimbang mengikut potensi yang terdapat di setiap daerah agar kemajuan yang diraih dapat dinikmati oleh lebih empat juta rakyat Johor.

 

Di bawah pelan JETP, Johor Bahru dan Kulai akan dipacu sebagai pusat ekonomi berteknologi tinggi merangkumi kecerdasan buatan (AI), pembuatan inovatif, ekonomi digital, aeroangkasa dan perkhidmatan berorientasikan eksport, manakala Segamat, Kluang dan Kota Tinggi diperkukuh sebagai hab pertanian moden, biojisim dan agro-pemprosesan bernilai tinggi.

 

Pada masa sama, JETP turut meletakkan Pontian sebagai hab tenaga biru-hijau dan pusat akuakultur, selain memposisikan Mersing sebagai peneraju ekonomi biru serta destinasi ekopelancongan antarabangsa, di samping memastikan Muar, Batu Pahat dan Tangkak dibangunkan mengikut kekuatan industri seperti tenaga, pembuatan, makanan bernilai tinggi dan agropelancongan.

 

Tiga sasaran besar ditetapkan Kerajaan Negeri menerusi JETP menjelang tahun 2030 iaitu menggandakan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor kepada RM260 bilion, meningkatkan KDNK per kapita melepasi RM69,000 dan membuka 200,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk tenaga kerja muda.

 

Bagi memastikan sasaran ini dapat direalisasikan secara mampan, JETP juga memberi tumpuan kepada empat intervensi utama iaitu penyediaan infrastruktur berdaya saing, pelaksanaan polisi mesra pelaburan dan responsif, penyediaan insentif fiskal serta non-fiskal kompetitif dan memastikan kewujudan tenaga kerja terlatih memenuhi keperluan industri.

 

Melalui kerangka pelaksanaan yang disusun, JETP yang merangkumi 32 inisiatif pembangunan dengan 13 inisiatif berimpak tinggi akan dipercepatkan bagi memastikan rakyat berpeluang melihat hasil nyata dalam tempoh lebih segera, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap hala tuju pembangunan Johor.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#PelanTransformasiEkonomiJohor
#JETP
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor