NIGHT ZOO JOHOR TARIKAN BAHARU DIBUKA 27 MAC INI

Kerajaan Johor memperkukuh sektor pelancongan menerusi pembukaan Night Zoo Johor mulai 27 Mac. | Foto MEDKOM
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperkukuh sektor pelancongan negeri menerusi pembukaan ‘Night Zoo Johor’ bermula 27 Mac ini, sekali gus menawarkan pengalaman baharu kepada Bangsa Johor dan pelancong menikmati suasana zoo pada waktu malam.
Tarikan terbaharu ini akan beroperasi dari Jumaat hingga Ahad, bermula jam 8.00 malam hingga 11.00 malam dengan kadar tiket RM10 bagi dewasa, RM5 untuk kanak-kanak berusia lima tahun ke atas dan warga emas, serta RM30 bagi pelancong asing.
Turut menawarkan kemasukan percuma kepada kanak-kanak bawah lima tahun dan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU), ‘Night Zoo Johor’ menampilkan lebih 35 spesies haiwan baharu serta tarikan siri ‘feeding show’ yang melibatkan haiwan nokturnal.
Inisiatif ini dilaksanakan sebagai menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor agar Zoo Johor dinaik taraf kepada konsep ‘Night Zoo’ sebagai salah satu mercu tanda pelancongan utama negeri.
Dengan peruntukan sebanyak RM8.73 juta, pelbagai kerja naik taraf telah dilaksanakan merangkumi sistem saliran, pembentungan, pencawang elektrik serta pencahayaan bagi memastikan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada pengunjung.
Dalam masa sama, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan kebersihan melalui penglibatan pengawal zoo, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta RELA, selain rondaan berkala dan penempatan ambulans bagi menjamin pengalaman lawatan yang selamat.
Pembukaan ‘Night Zoo Johor’ yang sejajar dengan Tahun Melawat Johor 2026 ini dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan negeri seterusnya mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan utama negara.
#JohorSafeZone
#VisitJohor2026
#ZooJohor
#MajesticJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


