JS-SEZ SERLAH POTENSI JOHOR JADI KUASA EKSPORT

YBhg. Dato’ Sri Idris Jala bersama Professor Ian Goldin, pakar Globalisasi dan Pembangunan dari Universiti Oxford dijemput hadir selaku panel dalam program Johor Dialogue 2026 dipengerusikan oleh Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Johor diyakini memiliki potensi untuk terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu utama ekonomi negara berteraskan eksport melalui pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang dilihat sebagai peluang strategik berimpak tinggi dan mempunyai daya saing global yang mampan.

 

Pendekatan ini disifatkan YBhg. Dato’ Sri Idris Jala, Presiden dan Pengerusi PEMANDU Associates selari dengan keperluan Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka yang tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pasaran domestik, sebaliknya perlu menumpukan kepada lebihan perdagangan sebagai penanda aras kejayaan ekonomi bagi tempoh jangka masa panjang.

 

Pengalaman yang dilalui oleh beberapa negara kecil tetapi maju seperti Singapura, Switzerland dan Finland wajar dijadikan sebagai rujukan utama, apabila langkah serta fokus yang diberikan kepada eksport bernilai tinggi telah terbukti mampu memperkukuh daya tahan ekonomi serta meningkatkan pendapatan negara berkenaan.

 

Dalam konteks Johor, inisiatif JS-SEZ bukan sahaja menjadi zon pelaburan baharu, tetapi juga sebagai platform pembelajaran strategik untuk mengadaptasi amalan terbaik antarabangsa khususnya dalam aspek memudahcara pelaburan, kecekapan tadbir urus dan kepantasan pelaksanaan sesuatu dasar.

 

Kerajaan Negeri disaran supaya terus menekankan keperluan meningkatkan produktiviti sebagai teras transformasi ekonomi dengan sasaran memastikan setiap tenaga kerja di Johor mampu mencipta nilai lebih tinggi, di samping kesediaan mempelajari dan menyesuaikan model kejayaan Singapura secara pragmatik demi menarik pelaburan berkualiti tinggi serta mengukuhkan rantaian eksport negeri.

 

Transformasi ini hanya dapat direalisasikan melalui tadbir urus cekap, keputusan pantas serta pelaksanaan yang konsisten tanpa dibelenggu karenah birokrasi berpanjangan seperti yang telah digerakkan oleh Kerajaan Negeri menerusi penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) serta kolaborasi bersama institusi pendidikan terbaik bagi melatih penjawat awam negeri.

 

Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen Johor untuk bukan sahaja menyertai arus globalisasi, tetapi memastikan setiap peluang ekonomi diterjemahkan kepada nilai sebenar untuk rakyat dan kemampanan negeri, sekali gus melangkah ke hadapan sebagai negeri yang membentuk masa depan ekonomi negara dengan eksport dan produktiviti sebagai nadi utama pembangunan.

 

Terdahulu, YBhg. Dato’ Sri Idris Jala bersama Professor Ian Goldin, pakar Globalisasi dan Pembangunan dari Universiti Oxford dijemput hadir selaku panel dalam program Johor Dialogue 2026 dipengerusikan oleh Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi Negeri Johor, baru-baru ini.

 

#JohorSafeZone
#JohorDialogue2026
#ZonEkonomiKhasJohorSingapura
#JohorHomeOfChampions
#WTN
#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor