LAMAN AIR HUTAN BANDAR JOHOR BAHRU DITUTUP SEMENTARA ISU KEBERSIHAN

Laman Air Hutan Bandar Johor Bahru ditutup dua hari untuk pembersihan dan penyelenggaraan, dibuka semula 28 Mac. | Foto Majlis Bandaraya Johor Bahru
#IskandarPuteri – Laman Air Hutan Bandar Johor Bahru ditutup sementara selama dua hari bagi kerja pembersihan dan penyelenggaraan susulan penggunaan yang tinggi sebelum dibuka semula pada 28 Mac ini.
Penutupan sementara ini bertujuan memastikan tahap kebersihan, keselesaan dan keselamatan pengunjung sentiasa terpelihara sekali gus menjamin pengalaman rekreasi yang lebih baik kepada orang ramai.
Kerajaan Negeri bertegas mahu setiap kemudahan awam disediakan perlu disertai dengan tanggungjawab yang tinggi dalam kalangan masyarakat untuk menjaga kebersihan, kesihatan dan keselamatan, jelas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Sikap segelintir pengunjung yang tidak bertanggungjawab termasuk membiarkan anak-anak membuang najis di kawasan rekreasi disifatkan sebagai tidak wajar kerana boleh menjejaskan kesihatan dan keselesaan orang lain.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut menekankan peranan ibu bapa dalam mendidik anak masing-masing mengenai adab di tempat awam termasuk menjaga kebersihan, menghormati kemudahan dan peka terhadap persekitaran.
Sambutan menggalakkan ke Hutan Bandar Johor Bahru di bawah seliaan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mencerminkan keperluan masyarakat terhadap ruang rekreasi awam berkualiti apabila kawasan tersebut terus menjadi tumpuan keluarga untuk beriadah dalam suasana harmoni.
Kemudahan ‘Kids Pool’ yang dibangunkan MBJB menjadi antara tarikan utama apabila ditawarkan secara percuma seterusnya mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan fasiliti terbaik untuk dinikmati oleh seluruh Bangsa Johor.
Justeru, orang ramai diseru untuk bersama-sama memelihara kemudahan yang disediakan agar terus dapat dimanfaatkan secara berterusan selaras dengan aspirasi membentuk masyarakat berdisiplin dan bertanggungjawab.
#JohorSafeZone
#JohorBersih
#LamanAirHutanBandarJohorBahru
#VisitJohor2026
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


