OPERASI PEMADAMAN KEBAKARAN DI PENGERANG MASIH DITERUSKAN

Operasi pemadaman kebakaran hutan terbuka di laluan Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove menunjukkan perkembangan positif apabila 90 peratus berjaya dipadam. | Foto JBPM Negeri Johor
#IskandarPuteri – Operasi pemadaman kebakaran hutan terbuka di laluan Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove menunjukkan perkembangan positif apabila 90 peratus daripada keseluruhan kawasan terjejas seluas 150 hektar berjaya dipadam setakat jam 9.00 pagi tadi.
Tumpuan operasi kini tertumpu di Seksyen G melibatkan kira-kira 15 hektar atau 10 peratus kawasan dengan pemadaman dilaksanakan secara intensif menggunakan pendekatan ‘direct attack’ dan ‘total flooding’ melalui sumber air daripada jentera ‘water tanker’ serta kolam berhampiran.
Selain itu, aset udara iaitu helikopter jenis Mi-17 turut digerakkan bagi melaksanakan operasi ‘water bombing’ secara berperingkat khususnya di kawasan yang sukar diakses oleh pasukan darat.
Dalam masa sama, jentera berat termasuk ‘backhoe’ dan ‘excavator’ digunakan secara berterusan bagi membina ‘fire break’ sebagai langkah pencegahan untuk menghalang kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran.
Sementara itu, operasi pemadaman di belakang Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pengerang masih giat dijalankan dengan 55 peratus daripada keseluruhan 10 hektar kawasan kebakaran berjaya dikawal setakat ini.
Namun, faktor angin kencang menyebabkan api kembali merebak ke beberapa seksyen sekali gus memerlukan tindakan pemadaman secara agresif diteruskan.
Keseluruhan operasi diketuai oleh TPgB Baharudin Idris, Komander Operasi Kanan bersama PBT Ezam Mistorerrodin, Komander Operasi yang memastikan koordinasi berkesan antara semua agensi terlibat.
#JohorSafeZone
#Kebakaran
#Pengerang
#JBPM
#BombaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



