JOHOR TEGAS BANTERAS AJARAN MENYIMPANG DEMI KESEJAHTERAAN UMMAH

Kenyataan media YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor tidak akan sesekali berkompromi dan bersedia mengambil tindakan tegas terhadap isu penyebaran beberapa klip video mengandungi fahaman mengelirukan yang telah dikesan tular di beberapa rangkaian media sosial sejak 27 Mac lalu.
Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) melalui Mesyuarat Penuh Kali Ke-293 turut menegaskan bahawa sebarang ajaran yang menyimpang daripada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah berteraskan Asya’irah dan Al-Maturidiah wajib dibanteras secara tegas dan bersepadu.
Selain itu, tindakan penguatkuasaan turut digerakkan antara Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) susulan Mesyuarat Membanteras Ajaran Menyimpang yang diadakan semalam, jelas YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.
Kerajaan Negeri juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kesalahan berkenaan yang kini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan; Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; Seksyen 298, 500 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Enakmen Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
Terdahulu, beberapa klip video mengandungi fahaman mengelirukan telah dikenal pasti, termasuk dakwaan seorang individu yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Ratu Nur Putri Ratu Balqis’ dengan pengakuan yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam, selain kenyataan yang turut mencemarkan Institusi Raja-Raja Melayu.
Selain itu, pihak berkuasa turut menerima aduan berhubung penyebaran ajaran ‘God, The Mother’ yang didakwa sesat melalui edaran bercetak kepada orang awam di AEON Mall, Kulai, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap penularan fahaman yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan atau mempercayai kandungan yang belum disahkan kesahihannya serta perlu merujuk kepada pihak berautoriti dalam apa juga bentuk berkaitan hal ehwal agama Islam.
#JohorSafeZone
#AjaranSesat
#JAINJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


