PROJEK RTS LINK JOHOR BAHRU–SINGAPURA DI FASA AKHIR, PACU MOBILITI RENTAS SEMPADAN

Projek RTS Link Johor Bahru–Singapura kini di fasa akhir kesiapsiagaan sekali gus bakal memperkukuh mobiliti rakyat serta hubungan dua hala Johor–Singapura. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura kini memasuki fasa akhir kesiapsiagaan, sekali gus bakal mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin mobiliti rakyat dan simbol kekuatan hubungan Johor–Singapura.

 

Kerja struktur dan pembinaan utama di Stesen Bukit Chagar kini hampir siap sepenuhnya dengan tren sudah boleh memasuki stesen berkenaan, selain pemasangan pintu perkhidmatan penumpang juga telah disempurnakan.

 

Sementara itu, di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar pula, pemasangan kemudahan e-gate telah siap sepenuhnya manakala sistem saringan keselamatan kini sedang dipasang bagi memastikan aliran penumpang menjadi lebih lancar dan efisien.

 

Projek yang kini memasuki fasa kritikal akan melibatkan ujian integrasi dan ujian dinamik sebelum ia beralih ke peringkat Final Field Readiness (FFR) yang dijangka bermula pada September ini dengan sasaran siap sepenuhnya menjelang akhir Disember, sebelum operasi sebenar dijangka bermula seawal Januari 2027.

 

Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah serta integrasi terus ke JB Sentral dan rangkaian bas, sistem RTS ini juga bakal menjadi langkah penyelesaian utama kepada isu kesesakan rentas sempadan.

 

Secara keseluruhan, RTS bukan sekadar projek pengangkutan, tetapi ia juga turut menjadi lambang kesiapsiagaan Johor dalam memacu mobiliti moden dan memperkukuh hubungan strategik dengan Singapura demi manfaat Bangsa Johor.

 

#JohorSafeZone
#WTN
#RTSLink
#InfrastrukturJohor
#PengangkutanAwam
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor