JDT KEKALKAN STANDARD PERSIAPAN TAHAP TERTINGGI

JDT memilih Alicante, Sepanyol sebagai pusat latihan pramusim bagi menghadapi kempen Liga Malaysia, ACLE dan ACC Shopee Cup 2026/27 bermula 14 hingga 31 Julai.

 

#IskandarPuteri – Sebagai persediaan untuk menghadapi musim baharu Liga Malaysia, Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup 2026/27, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memilih Alicante, Sepanyol buat kali ketiga sebagai pusat latihan pramusim bermula 14 hingga 31 Julai.

 

Para pemain Harimau Selatan telah diterbangkan dengan pesawat Malaysia Airlines, penaja penerbangan rasmi kelab dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada semalam.

 

Skuad bimbingan Xisco Munoz akan berpangkalan di Melia Villaitana Football Centre dan bakal mengharungi sembilan perlawanan persahabatan dalam tempoh dua minggu tersebut.

 

Langkah strategik JDT mengatur siri perlawanan persahabatan berprofil tinggi dengan tujuh kelab Eropah dan dua kelab Asia berfungsi sebagai persiapan fizikal serta taktikal bertaraf antarabangsa untuk menghadapi saingan ACLE.

 

Antara kelab yang bakal menguji kehebatan Harimau Selatan termasuk pertembungan awal dengan jaguh Scotland, Rangers FC serta beberapa kelab dari Sepanyol dan Arab Saudi.

 

Selain perlawanan di bumi Sepanyol, Harimau Selatan juga dilaporkan akan meneruskan siri jelajah pramusim dengan berdepan Chelsea FC, gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Sultan Ibrahim pada bulan Ogos.

 

Untuk rekod, JDT telah mengesahkan kemasukan beberapa pemain baharu untuk memperkuatkan skuad bagi mengharungi saingan musim baharu termasuk Shahab Zahedi, bintang penyerang dari Iran; Dejan Petrovic, pemain tengah kebangsaan Slovenia; Kevin Medina, pemain pertahanan kelahiran Colombia dan Brad Tapp, bekas pemain Central Coast Mariners.

 

Luaskan Kuasamu Johor!

 

#JohorSafeZone
#JDT
#PreSeason
#WeAreAMovement
#TheTMJeffect
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor