REKOD 26 TAHUN SUKMA ‘DIREJAM’ CHAI KAI LE

Atlet olahraga Johor, Chai Kai Le, 18, mencipta ‘kejutan sensasi’ apabila penampilan sulungnya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) bukan sahaja menghadiahkan kilauan pingat emas kepada kem Kontinjen Johor tetapi juga meleburkan rekod kejohanan itu yang telah bertahan selama 26 tahun.
#Serdang – Atlet olahraga Johor, Chai Kai Le, 18, mencipta ‘kejutan sensasi’ apabila penampilan sulungnya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) bukan sahaja menghadiahkan kilauan pingat emas kepada kem Kontinjen Johor tetapi juga meleburkan rekod kejohanan itu yang telah bertahan selama 26 tahun.
Kejayaan Kai Le secara tidak langsung meletakkan dirinya sebagai pemegang Rekod Baharu Kejohanan (RBK) dalam acara rejam lembing lelaki pada temasya SUKMA XXII Selangor 2026 kali ini.
Atlet remaja yang membesar di Pasir Gudang itu melakukan rejaman padu sejauh 64.44 meter (M), sekali gus memadamkan rekod SUKMA yang sebelum ini dipegang atlet Sarawak, Kho Mei Kuan dengan catatan 62.33m pada edisi SUKMA 2000 di Pulau Pinang.
Rejaman emas tersebut turut melengkapkan satu lagi pencapaian membanggakan bagi Kai Le yang sebelum ini pernah merekodkan jarak terbaik peribadi sejauh 65.65m ketika meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Terbuka Jawa Tengah 2026, Julai lalu.
Tidak mahu mendabik dada, Kai Le menganggap kejayaan itu adalah hasil daripada usaha berpasukan dengan menzahirkan penghargaan kepada barisan jurulatih serta keluarga yang sentiasa memberikan sokongan penuh dalam perkembangan kariernya sehingga berjaya mencipta rekod baharu pada temasya sukan dwitahunan kali ini.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu juga sentiasa berusaha memberikan fokus 100 peratus untuk meningkatkan kemahiran dan prestasi diri bagi memastikan dapat melakukan yang terbaik dalam setiap kejohanan yang disertainya.
Sementara itu, Mohd Noor Iman Nordin, 20, dari Johor Bahru turut menceriakan Kontinjen Johor apabila menyumbang pingat gangsa dalam acara rejam lembing lelaki selepas menghasilkan rejaman terbaik sejauh 59.04 meter, sekali gus mengekalkan pencapaian yang sama di pentas SUKMA Sarawak 2024.
Kejayaan kedua-dua atlet berkenaan menyaksikan acara rejam lembing terus menjadi ‘safe deposit’ apabila berjaya menyumbang pingat emas dan gangsa buat Kontinjen Johor, sekali gus membuktikan potensi atlet negeri ini dalam mencipta kejayaan di pentas tertinggi sukan tanah air.
#JohorSafeZone
#SUKMAXXII
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



