RANTAIAN BEKALAN JS-SEZ BERI RUANG SYARIKAT TEMPATAN BERKEMBANG

Sejak diwujudkan, JS-SEZ telah mencatat pelaburan diluluskan bernilai RM76.98 bilion pada tahun lalu manakala sejumlah RM5.49 bilion pelaburan telah diluluskan bagi tempoh suku pertama tahun ini, sekali gus menterjemah keyakinan pelabur terhadap zon ekonomi khas berkenaan. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk mengambil bahagian dalam rantaian bekalan industri menerusi peluang sebagai pembekal, penyedia perkhidmatan dan rakan niaga kepada pelabur.
Peluang berkenaan dilihat amat penting bagi memastikan pertumbuhan pelaburan dalam JS-SEZ turut disokong oleh keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk memenuhi keperluan industri yang berkenaan yang berkembang.
Justeru, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem perniagaan melalui kerjasama dengan pelabur, agensi kerajaan dan pemain industri bagi mewujudkan lebih banyak jaringan perniagaan yang dapat dimanfaatkan oleh syarikat tempatan.
Pada masa sama, PKS turut diberi perhatian menerusi akses kepada peluang pasaran, pembangunan kemahiran serta peningkatan kapasiti bagi membolehkan syarikat tempatan lebih bersedia untuk menyertai rantaian bekalan industri serta pasaran yang lebih luas.
Hubungan lebih rapat antara pelabur dan syarikat tempatan juga dapat membuka ruang kepada peningkatan keupayaan perniagaan, peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat apabila lebih banyak aktiviti ekonomi dapat berkembang dalam ekosistem JS-SEZ.
Pendekatan berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha untuk memastikan syarikat tempatan mampu berkembang seiring dengan pertumbuhan ekonomi Johor dan tidak hanya menjadi penerima kesan tidak langsung daripada kemasukan pelaburan ke negeri ini.
Sejak diwujudkan, JS-SEZ telah mencatat pelaburan diluluskan bernilai RM76.98 bilion pada tahun lalu manakala sejumlah RM5.49 bilion pelaburan telah diluluskan bagi tempoh suku pertama tahun ini, sekali gus menterjemah keyakinan pelabur terhadap zon ekonomi khas berkenaan.
Usaha memperkukuh penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan turut disentuh dalam sesi perkongsian “JS-SEZ: Membuka Peluang Baharu Kepada SME Dalam Ekonomi Johor” bersama YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor sempena Hari Perbendaharaan Negeri Johor 2026 di Sunway Big Box Retail Park, pada Khamis.
#JohorSafeZone
#HIPNJ2026
#PerbendaharaanNegeriJohor
#JSSEZ
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



