MYADUAN JOHOR PERKUKUH PENGURUSAN ADUAN RAKYAT

Kerajaan Negeri berharap pelaksanaan MyADUAN Johor dapat terus diperkasakan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan PBT, sekali gus merealisasikan hasrat agenda Maju Johor. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#JohorBahru – Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh pengurusan aduan rakyat menerusi pelaksanaan MyADUAN Johor Bersepadu bagi memastikan setiap aduan dapat diselaraskan dengan lebih sistematik serta tindakan susulan dilaksanakan secara cekap dan berkesan.
YB Dato’ Haji Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, memaklumkan perkara itu diberi penekanan menerusi Sesi Taklimat MyADUAN Johor Bersepadu yang turut memberi tumpuan kepada peranan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam membantu menyelesaikan permasalahan rakyat di kawasan masing-masing.
Inisiatif berkenaan selaras dengan agenda Maju Johor di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, yang sentiasa menekankan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap, responsif dan dekat dengan rakyat.
Pembangunan MyADUAN Johor dilaksanakan secara berperingkat sejak Disember 2024, sebelum ia diperluas menerusi taklimat, bengkel hala tuju dan latihan bersama PBT, Ahli Majlis serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor bagi memastikan kesiapsiagaan petugas dan penyelarasan pengurusan aduan.
Melalui sistem berkenaan, aduan rakyat merangkumi enam kategori utama iaitu jalan dan perabot jalan; lampu jalan dan lampu isyarat; sampah dan pembersihan awam; saliran dan perparitan; pokok dan landskap serta gangguan haiwan.
Sehubungan itu, Ahli Majlis turut digalakkan memainkan peranan aktif sebagai penghubung antara penduduk dengan PBT menerusi pendekatan 3T1M1C, iaitu Turun Padang, Teamwork, ‘Te Shi Te Ban’, Micromanage dan Communication bagi memastikan aduan direkodkan dengan lengkap, tindakan diselaraskan dan perkembangan penyelesaian dipantau
Pendekatan berkenaan penting bagi memastikan isu yang menjejaskan keselesaan serta keselamatan penduduk seperti jalan berlubang, lampu jalan rosak dan longkang tersumbat akan mendapat perhatian sewajarnya, selain membolehkan rakyat mengetahui perkembangan tindakan terhadap aduan yang dikemukakan.
Kerajaan Negeri berharap pelaksanaan MyADUAN Johor dapat terus diperkasakan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan PBT, sekali gus merealisasikan hasrat agenda Maju Johor untuk menyediakan persekitaran yang lebih selamat, bersih dan selesa kepada Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#MyADUAN
#JohorSmartCity
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



