ANAK JOHOR DI PERANTAUAN HARGAI PERBELANJAAN TAMBANG PULANG KE KAMPUS

Mahasiswa anak Johor di IPT Sabah dan Sarawak kini tidak perlu bimbang pulang berhari raya kerana tambang perjalanan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Johor. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Mahasiswa anak Johor khususnya yang sedang mengikuti pengajian di beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Sabah dan Sarawak kini tidak perlu bimbang untuk pulang berhari raya di kampung halaman apabila kos perbelanjaan tambang pulang ke kampus kini akan dibantu sepenuhnya oleh Kerajaan Johor.

 

Inisiatif berkenaan yang diumumkan dengan kerjasama Gabungan Mahasiswa Anak Johor Kebangsaan (GAJ) itu disifatkan sebagai langkah tepat dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar, khususnya ketika musim perayaan apabila kos tambang penerbangan akan meningkat, seiring dengan permintaan tinggi terhadap mod pengangkutan awam berkenaan.

 

Bagi Abdul Shahir Abdul Muhaimin, 22, pelajar jurusan Kewangan Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan menyifatkan inisiatif tersebut sangat membantu para mahasiswa yang mengikuti pengajian tinggi mereka di kepulauan Borneo berkenaan untuk kembali semula ke kampus, selepas berhari raya di kampung halaman masing-masing.

 

Beliau memberitahu, kebanyakan perbelanjaan utama akan digunakan untuk membeli tiket kapal terbang sahaja dan hal itu tidak termasuk kos lain seperti makanan dan juga bagasi. Justeru, menerusi inisiatif daripada Kerajaan Negeri ini, ia sudah pasti sangat membantu, sekali gus dapa meringankan beban kewangan mereka sebagai seorang mahasiswa.

 

Sementara itu bagi Nursyafika Nor Hisam, 22, pelajar jurusan Geografi di UMS Kampus Induk Kota Kinabalu pula berasa sangat bertuah kerana menjadi antara mahasiswa yang terawal menikmati inisiatif yang disediakan khas oleh Kerajaan Negeri untuk mahasiswa anak Johor yang sedang menuntut di Sabah dan Sarawak.

 

Melalui inisiatif tersebut, beliau kini tidak lagi perlu terlalu memikirkan tentang kos tiket penerbangan selepas menyambut perayaan Aidilfitri dan boleh memfokuskan wang sedia ada untuk tujuan menampung keperluan harian dan sesi pembelajaran sepanjang berada di Sabah.

 

Bagi Mohd Hafizudin Abdul Latif, 22, pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Kerajaan Johor kerana masih tetap mengambil berat soal kebajikan mereka walaupun berada jauh di perantauan.

 

Beliau yang kini mengikuti pengajian dalam bidang Kajian Politik dan Pemerintahan menyifatkan kejayaan pelaburan yang dibawa oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mencecah RM110 bilion pada tahun lalu menunjukkan pembangunan negeri bukan hanya sekadar angka, tetapi sebaliknya ia telah memberi manfaat besar kepada rakyat termasuk golongan mahasiswa.

 

Belanjawan Johor 2026 yang dibentangkan sebelum ini menyediakan peruntukan sebanyak RM1.4 juta bagi tujuan pelaksanaan inisiatif berkenaan. Peruntukan besar di bawah Teras 3: Orang Muda Johor itu jelas mampu memberi kelegaan dan manfaat kepada mahasiswa yang menuntut di kepulauan Borneo, sekali gus mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan dan kesejahteraan mereka di perantauan.

 

#JohorSafeZone
#MehBalikKampus
#MahasiswaAnakJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor