ANAK SYARIKAT JOHOR PLANTATIONS GROUP DIIKTIRAF STATUS BIONEXUS


Mohd Faris Adli Shukery, Pengarah Urusan JPG (kanan) menyampaikan cenderamata kepada YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang melawat kilang syarikat JPG Greenergy Ventures di Sedenak, Kulai.

 

JPG Greenergy Ventures Sdn. Bhd. dianugerahkan Status BioNexus oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

 

Status BioNexus memperkasa syarikat-syarikat yang layak untuk mempercepatkan pertumbuhan dalam sektor bioteknologi dengan manfaat termasuk insentif fiskal, pembiayaan, fasilitasi pelaburan dan perkhidmatan nasihat.

 

Anak syarikat Johor Plantations Group Berhad (JPG) itu menerima pengiktirafan berprestij itu atas pencapaian cemerlang dalam mengubah sisa kilang sawit menjadi biometana yang bernilai dan komitmen mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

 

Transformasi inovatif JPG dalam mengubah sisa buangan dari pengeluaran minyak sawit menjadi biometana itu menunjukkan penanda aras dalam pelupusan mampan produk sampingan minyak sawit dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

 

Status BioNexus untuk JPG Greenergy Ventures meletakkan JPG pada kedudukan inovasi yang berterusan dan mengukuhkan peranan kepimpinan dalam sektor bioekonomi Malaysia, jelas YBrs. Mohd Faris Adli Shukery, Pengarah Urusan JPG.

 

JPG akan terus menjadi perintis penyelesaian tenaga boleh diperbaharui dan mengembangkan operasi sekali gus dijangka memainkan peranan penting dalam memacu industri agribisnes serta matlamat kelestarian alam sekitar.

 

Pengiktirafan ke atas anak syarikat JPG daripada MOSTI melalui Bioeconomy Corporation selain penyenaraian di Bursa Malaysia pada masa akan datang mencerminkan pertumbuhan berterusan JPG dalam sektor minyak sawit dan tenaga boleh diperbaharui.

 

Terdahulu, YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengadakan lawatan ke ladang sawit dan loji biometana milik JPG di Sedenak, seterusnya menyaksikan inovasi JPG dalam menghasilkan biometana daripada sisa buangan pengeluaran minyak sawit.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor