AYUH JOHOR AKADEMIA 2025 SOKONG HALA TUJU MAJU JOHOR 2030

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir ke Majlis Perasmian Program Ayuh Johor Akademia 2025 di Grand Ballroom, Sunway Hotel Big Box. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus memperkukuh ekosistem pendidikan di negeri ini menerusi penganjuran Program Ayuh Johor Akademia 2025 yang menghimpunkan ahli akademik dari seluruh Johor.

 

Berbeza dengan Program Ayuh Johor sebelum ini yang pada kebiasaannya dilaksanakan bersama mahasiswa, namun program kali ini dijayakan dengan menghimpunkan ahli akademik dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Johor yang bertujuan untuk memberi penerangan secara langsung mengenai inisiatif dan kedudukan semasa Kerajaan Negeri Johor.

 

Antaranya IPT yang terlibat ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor; Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Institut Pendidikan Guru (IPG) Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ); Politeknik dan Kolej Komuniti dari seluruh negeri ini.

 

Selain itu, program berkenaan juga dianjurkan bagi memberi penerangan mengenai pencapaian utama negeri serta hala tuju strategik pembangunan Johor menjelang tahun 2030, selaras dengan visi agenda Maju Johor 2030 yang turut meliputi inisiatif berimpak tinggi seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dan Majlis Pembangunan Bakat Negeri Johor (JTDC).

 

Program ini juga menjadi platform libat urus dua hala yang akan memberikan gambaran menyeluruh kepada ahli akademik berkenaan mengenai perancangan dan keutamaan Kerajaan Negeri, di samping membolehkan mereka untuk turut serta dalam menyumbangkan pandangan, idea dan kepakaran ke arah pembentukan model pendidikan Johor yang lebih komprehensif.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir ke Majlis Perasmian Program Ayuh Johor Akademia 2025 di Grand Ballroom, Sunway Hotel Big Box, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#AyuhJohorAkademia
#InstitutDatoOnn
#JTDC
#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor