BANTUAN KASIH JOHOR CERMINAN EMPATI DAN STRATEGI KESEJAHTERAAN RAKYAT

Pelaksanaan Bantuan Kasih Johor menjadi tanda jelas bahawa Kerajaan Johor sentiasa bersama rakyat, bukan sekadar dalam aspek kebajikan, tetapi juga melalui strategi jangka masa panjang untuk melahirkan Bangsa Johor yang berdaya tahan dan berdaya saing. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diumumkan menerusi Belanjawan Johor 2026 bukan sahaja menjadi satu bentuk bantuan kewangan, tetapi ia juga lambang komitmen tinggi Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan hidup Bangsa Johor menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah hampir RM170 juta yang bakal memanfaatkan lebih 330,000 penerima di seluruh negeri ini.
Bagi Prof. Madya Dr. Khairunesa Isa, Pensyarah Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), memberitahu inisiatif tersebut bukan sahaja berteraskan kasih sayang dan kepedulian Kerajaan Negeri terhadap rakyat, tetapi turut mencerminkan nilai empati, tanggungjawab, amanah dan semangat kebersamaan yang menjadi teras kepada pembentukan Bangsa Johor yang sejahtera dan inklusif.
Jelas Dr. Khairunesa, BKJ juga memperlihatkan pendekatan berstrategi yang bukan sekadar memberi bantuan tunai, tetapi membina asas bagi tempoh jangka masa panjang bagi keselamatan serta kesejahteraan sosial rakyat. Langkah ini juga mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan yang unggul melalui pendidikan dan latihan kemahiran yang menyasarkan golongan berkeperluan.
Lebih daripada itu, BKJ juga menjadi bukti bahawa pengagihan hasil negeri yang dilaksanakan oleh Kerajaan Johor dibuat secara adil dan memberi impak langsung kepada rakyat. Ini secara tidak langsung menterjemah nilai keadilan sosial, memperkukuh inklusiviti dan menzahirkan nilai ‘return on investment’ dalam bentuk kesejahteraan serta memotivasi rakyat untuk terus maju seiring dengan pembangunan negeri.
Selain pemberian bantuan kewangan, Dr. Khairunesa mencadangkan agar Kerajaan Negeri turut mempertimbangkan pelaksanaan pelbagai bentuk bantuan lain seperti baucar tukaran tunai, pembayaran yuran pendidikan atau latihan, modal asas perniagaan serta yuran pendaftaran perniagaan yang mampu memperkasa pendidikan, bimbingan dan kemahiran rakyat agar mereka lebih berdaya berdikari dalam jangka masa panjang.
Pada masa yang sama, penilaian dan pemantauan selepas bantuan diberikan juga amat penting bagi membolehkan Kerajaan Negeri mengukur semula keberkesanan dasar serta menambah baik pelaksanaannya secara berterusan, sekali gus memastikan setiap bantuan yang disalurkan benar-benar memberi impak kepada kesejahteraan rakyat.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan BKJ menjadi tanda jelas bahawa Kerajaan Johor sentiasa bersama rakyat, bukan sekadar dalam aspek kebajikan, tetapi juga melalui strategi jangka masa panjang untuk melahirkan Bangsa Johor yang berdaya tahan dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi menjadikan Johor negeri yang bukan sahaja prihatin, tetapi berstrategi dalam memperkasa rakyatnya.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BantuanKasihJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


