BANTUAN TABUNG KASIH JOHOR-PALESTIN MULA DIAGIHKAN KE GAZA

Bantuan Tabung Kasih Johor-Palestin berjumlah RM2.5 juta mula disalurkan ke Gaza sebagai tanda solidariti berterusan Bangsa Johor terhadap rakyat Palestin yang terjejas krisis kemanusiaan. | Foto FB Mohd Fared Mohd Khalid
#IskandarPuteri – Bantuan Tabung Kasih Johor-Palestin berjumlah RM2.5 juta kini mula diagihkan ke wilayah Gaza sebagai tanda solidariti berterusan Bangsa Johor terhadap nasib rakyat Palestin yang berdepan dengan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.
Usaha itu selari dengan titah serta keprihatinan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas sokongan terhadap pelaksanaan misi tersebut, serta komitmen jitu daripada YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dalam memastikan siri ketiga bantuan ke Palestin itu dapat direalisasikan.
Bantuan kemanusiaan ini disifatkan sebagai tepat pada masanya kerana selain ketibaan bulan Ramadan, wilayah bergolak berkenaan juga masih berada dalam musim sejuk dengan beberapa bantuan telah mula masuk ke sempadan Rafah dan kemudiannya diagihkan kepada penduduk Palestin di Gaza yang meliputi Bantuan Kotak Makanan, Bantuan Musim Sejuk dan agihan air bersih.
Selain itu, peruntukan berjumlah RM2.5 juta itu turut meliputi pelaksanaan inisiatif Dapur Kasih Johor dengan nilai RM1.032 juta bagi penyediaan hidangan bermasak di Gaza, selain Bantuan Musim Sejuk berjumlah RM197,340 dan Perbekalan Air Bersih sebanyak RM205,920.
Peruntukan ini turut merangkumi Persiapan Ramadan bernilai RM95,400, penyediaan Kotak Makanan dari Kaherah, Mesir bernilai RM372,252 serta Bantuan ke Kem Pelarian berjumlah RM621,188 dengan jangkaan lebih 350,000 rakyat Palestin akan menerima manfaat berkenaan.
Sementara itu, sebanyak RM372,500 diperuntukan bagi Penyediaan Khemah Kampung Johor pada tahun 2024 telah diolah semula kepada Program Pemulihan Klinik Pesakit Luar Hospital Al-Aqsa atas nasihat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) bagi memperkukuh akses penjagaan kesihatan rakyat Palestin.
#JohorSafeZone
#BantuanTabungKasihJohorPalestin
#Ramadan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


