BAUCAR KASIH JOHOR RANGSANG EKONOMI SETEMPAT KAMPUNG MELAYU MAJIDI

Medan Niaga Kampung Melayu Majidi menempatkan 147 unit premis merangkumi bazar, pasar basah, medan selera dan kedai serbaneka, menjadikannya pusat perniagaan moden yang berpaksikan nilai budaya dan komuniti setempat. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor akan melaksanakan inisiatif Baucar Kasih Johor bernilai RM200 bagi setiap keluarga merangkap penduduk Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru yang dijadualkan bermula pada Februari tahun ini.
Pelaksanaan projek rintis ini bertujuan untuk menggalakkan perbelanjaan di Pasar Awam dan Medan Niaga Kampung Melayu Majidi, sekali gus menyokong perkembangan perniagaan tempatan serta merancakkan ekonomi setempat.
Seiring pelaksanaannya, peniaga juga digalakkan supaya meningkatkan kualiti makanan, kebersihan premis serta mutu perkhidmatan selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk menjadikan Medan Niaga Kampung Melayu Majidi sebagai penanda aras pengurusan medan selera yang tersusun, bersih dan mesra rakyat.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan usaha pemberian diskaun sewaan sehingga 50 peratus sehingga hujung tahun, selain melakukan penambahbaikan kemudahan seperti pemasangan perangkap lalat, televisyen serta menambah baik aspek kebersihan dan keselesaan di kawasan medan selera berkenaan.
Pelaksanaan Baucar Kasih Johor ini merupakan antara langkah awal Kerajaan Negeri dalam memperluas manfaat kepada rakyat dengan peluasan inisiatif sama ke kawasan lain akan turut digerakkan oleh Kerajaan Negeri. Inisiatif ini dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan bandar.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan lawatan kerja bagi meninjau operasi serta kemudahan di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi bagi memastikan kebajikan peniaga dan keselesaan pengunjung sentiasa diberi perhatian.
Lawatan tersebut menjadi platform perbincangan terbuka bersama para peniaga bagi mendengar pandangan, cadangan serta cabaran yang dihadapi dalam urusan perniagaan harian, sekali gus menzahirkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyokong peniaga tempatan melalui pelbagai inisiatif bersasar.
#JohorSafeZone
#BaucarKasihJohor
#MedanNiagaKampungMelayuMajidi
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



