BAZAR BUKU ANTARABANGSA JOHOR JADI TARIKAN TAHUN MELAWAT JOHOR 2026

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyempurnakan perasmian Bazar Buku Antarabangsa Johor 2025 di Paradigm Mall Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Kerajaan Negeri komited untuk menjadikan Bazar Buku Antarabangsa Johor sebagai acara tahunan berprestij dan tarikan pelancongan utama sempena Tahun Melawat Johor 2026 apabila melakar sejarah tersendiri selepas merekodkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung setakat ini.

 

Berlangsung sejak 31 Julai lalu hingga 4 Ogos ini, edisi sulung bazar buku berkenaan menghimpunkan hampir 80 pempamer merangkumi penerbit tempatan dan luar negara yang bukan sahaja memperkukuh budaya membaca, tetapi merancakkan ekosistem perbukuan.

 

Sambutan luar biasa daripada pelbagai peringkat usia membuktikan keterbukaan rakyat terhadap kegiatan intelektual dan budaya literasi sekali gus memperlihatkan potensi besar acara itu serta membuka lembaran baharu kepada sektor pelancongan ilmu dan ekonomi kreatif di negeri ini.

 

Selain jualan buku, Bazar Buku Antarabangsa Johor juga menjadi platform merancakkan industri kreatif dan budaya menerusi penglibatan aktif penerbit, penulis, penggiat seni serta peminat buku dari pelbagai negara malah membuka ruang kerjasama dalam bidang penerbitan dan kandungan ilmiah.

 

Impak penganjuran turut dirasai secara langsung menerusi peningkatan kehadiran pelawat dari dalam dan luar negara seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melibatkan sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan serta perusahaan kecil dan sederhana.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyempurnakan perasmian Bazar Buku Antarabangsa Johor 2025 di Paradigm Mall Johor Bahru, hari ini. Hadir sama, YM Puan Ungku Hajah Noorakmal Ungku Sulaiman, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Johor.

 

#BazarBukuAntarabangsaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor